Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Realme 6i berkuasa Helio G80 akan dilancarkan pada 16 April

Walau dengan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa sejak 18 Mac, ia tidak menghalang Realme Malaysia untuk melancarkan telefon pintar baru. Pada 22 Mac lepas mereka melancarkan Realme 6, kini mereka mengumumkan akan melancarkan Realme 6i pada 16 April 2020.

Realme 6i adalah telefon pintar dengan prestasi di bawah Realme 6, pasti harganya nanti juga lebih murah. Peranti ini telah dilancarkan di Eropah dengan banyak pembaharuan di dalamnya berbanding Realme 5i.

Kuasa pemproses Realme 6i menggunakan cip terbaru Mediatek, Helio G80. Ia dipadankan bersama RAM 4GB dan storan 128GB, atau RAM 3GB dan storan 64GB.

Skrinnya berukuran 6.5-inci bertakuk, dengan resolusi HD+ sahaja. Kaca Corning Gorilla Glass 3 menjadi lapisan di atasnya. Bateri Realme 6i sangat besar, berkapasiti 5,000mAh dan mengecas melalui USB-C, serta menyokong pengecasan pantas 18W.

Terdapat 4 kamera di belakangnya. Kamera utama ialah kamera 48MP F1.8, bersama kamera ultra lebar 8MP F2.3. Kamera ketiga ialah kamera hitam putih F2.4 dan kamera keempat ialah kamera makro 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 16MP di dalam takuk di atas skrin.

Telefon ini memiliki tiga slot kad berasingan, dua kad sim nano dan satu kad mikroSD. Ia juga masih memiliki jek audio 3.5mm dan menjalankan sistem operasi Realme UI, berasaskan Android 10.

Warna untuk Realme 6i kali ini menggunakan hasil rekaan Naoto Fukasawa, yang sebelum ini hanya tampil dalam edisi terhad Realme sahaja. Dua kemasan warna disediakan iaitu Hijau Teh dan Putih Susu.

Di Eropah, Realme 6i dijual pada harga EUR199 (~RM937) dengan RAM 4GB dan storan 128GB. Untuk Realme 6 (4GB+128GB) pula, ia berharga EUR269 (~RM1,267). Dari sini, kita boleh membuat anggaran secara kasar kerana Realme 6 (4GB+128GB) telah dijual di Malaysia pada harga RM999. Untuk Realme 6i, ia mungkin diletakkan tanda harga sekitar RM649 ke RM699.

BACA  Realme 7 Pro & Realme 7: Maklumat penjualannya di Malaysia

Sama-sama kita nantikan pelancarannya pada 16 April kelak. Sama seperti sebelumnya, pelancaran akan dibuat dalam talian di Facebook Realme Malaysia bermula pukul 8.30 malam.

Sumber: Realme