Pagi ini, Poco Malaysia telah membuat pengumuman bahawa telefon pintar terbaru mereka, Poco F2 Pro akan mula dijual di Malaysia pada 10 Jun 2020. Terdapat dua varian yang akan dijual di Malaysia, bermula dari RM2,199.
Beberapa jam selepas itu, Poco Malaysia sekali lagi membuat pengumuman bahawa mereka akan mengadakan jualan kilat pada hari pertama jualan, eksklusif di Stor Xiaomi di Lazada. Jualan kilat ini akan memberikan diskaun RM200 untuk varian terendah Poco F2 Pro, sekaligus meletakkan harganya di bawah RM2,000!
Telefon pintar Poco F2 Pro dengan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB dengan harga rasmi RM2,199, akan dijual pada di Lazada pada 10 Jun 2020, pada harga RM1,999 sahaja. Tidak pula dinyatakan sama ada ia dijual dalam unit terhad. Tetapi memandangkan ia adalah jualan kilat, anda harus cepat mendapatkannya dengan diskaun RM200 ini sebelum ia dilabelkan habis dijual.
Varian lebih tinggi dengan RAM 8GB dan storan 256GB, dijual di Malaysia pada harga RM2,599. Tidak ada perbezaan spesifikasi antara keduanya, melainkan pada jumlah RAM dan storan sahaja.
Dengan harga di bawah RM2,000 sudah pasti Poco F2 Pro adalah telefon pintar yang patut anda beli. Ini kerana ia memiliki kuasa cip tertinggi masakini, Snapdragon 865 serta menyokong rangkaian 5G. Menjadikan telefon ini sedia menggunakan 5G apabila ia tiba di Malaysia, dijangka hujung tahun ini.
Walaupun dengan kuasa tertinggi serta 5G, Poco F2 Pro dilihat sukar memenuhi permintaan peminat permainan video. Ini kerana ia dilengkapi skrin AMOLED FHD berukuran 6.67-inci, dengan refresh rate 60Hz sahaja. Ia juga tiada speaker stereo.
Walaupun begitu, Poco F2 Pro masih ada jek audio 3.5mm, serta pemancar infra merah dan juga NFC. Kepantasan sambungan tanpa wayar dipertingkat lagi dengan sokongan WiFi 6 serta Super Bluetooth.
Kamera di Poco F2 Pro kini di tahap lebih baik dari biasa apabila dilengkapi kamera utama 64MP dari sensor Sony IMX686, bersama kamera hadapan 20MP yang boleh disembunyikan menggunakan modul pop-up.
Realme Malaysia hari ini juga baru melancarkan telefon pintar baharu mereka, Realme X3 Superzoom. Ia dilihat boleh menyaingi Poco F2 Pro melihatkan harganya yang hampir sama. Walaupun Realme X3 Superzoom dilihat kalah dari aspek cpu dan sokongan 5G, ia memiliki kamera yang lebih menarik. Selain itu, telefon baharu Realme ini memiliki skrin 120Hz serta speaker stereo, ciri-ciri yang menepati keperluan peminat permainan video.
Dengan bajet RM2,000 ini, adakah anda akan mendapatkan Poco F2 Pro ataupun Realme X3 Superzoom?
Sumber: Poco Malaysia