Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Adakah Google Chromecast akan datang dengan Android TV di dalamnya?

Google telah memperkenalkan fungsi Cast yang memudahkan sebarang kandungan di telefon pintar dipancarkan di skrin besar TV, hanya dengan memasang Chromecast. Sejak sekian lama, Google hanya menjual Chromecast yang memerlukan semua kawalan dibuat dari telefon pintar.

Perkara ini mungkin berubah kerana Google dikatakan akan melancarkan peranti yang memiliki Android TV terbina di dalamnya, dalam saiz kecil seperti Chromecast. XDA Developers melaporkan, mereka telah menemui sebuah peranti baru Google yang menggunakan kod nama “Sabrina”.

Maklumat yang ditemui menerangkan tentang sebuah video pemasaran oleh pereka di Google, bertajuk “OOBE_End“. OOBE adalah singkatan kepada “out-of-box experience” yang menerangkan penggunaan sesebuah produk. Video ini menunjukkan dongle Android, alat kawalan jauh dan antaramuka perisiannya.

Peranti penstriman akan datang dari Google ini berbentuk bujur, berbeza dengan Chromecast generasi ketiga yang berbentuk bulat. Terdapat tiga warna yang ditunjukkan iaitu putih, hitam dan merah jambu, dengan kemasan yang kelihatan seperti matte.

Alat kawalan jauhnya pula hanya ditunjukkan sebahagian sahaja, tetapi cukup lengkap untuk menerangkan kebanyakan penggunaannya. Ia ada butang kawalan arah, bersama butang OK di tengah. Terdapat juga butang berlogo “Google Assistant” untuk memberi arahan suara. Selain itu, ada butang Back, Home, Play/Pause dan Mute.

Antaramuka Android TV di dalam video ini menunjukkan ia membariskan senarai rancangan TV dan filem di bawah. Di bahagian tengah pula, terdapat senarai cadangan kandungan yang berubah secara automatik dari kandungan yang dipilih di bawahnya.

Bagaimanapun, video OOBE yang ditemui ini bertarikh Oktober 2019. Mungkin terdapat perubahan rupa dan antaramuka produk yang akan Google perkenalkan ini. Pelancarannya juga tidak diketahui bila tetapi dijangka ia patut ke pentas Google I/O 2020 yang telah dibatalkan. Jika pelancaran fizikal tidak menjadi, ia mungkin akan dilancarkan secara digital tahun ini.

BACA  OnePlus sahkan sedang bangunkan telefon murah

Sedikit sebanyak, peranti Android TV dari Google ini sangat mirip dengan apa yang ditawarkan Xiaomi Mi TV Stick. Ia adalah Android TV di dalam badan yang lebih kecil seperti pemacu kilat dan datang bersama alat kawalan jauh. Jika Xiaomi dan Google memperkenalkan peranti sebegini, pasti lebih banyak jenama akan turut menyertai tawaran sebegini.

Sumber: XDA Developers