Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

PKPP: Fasa pemulihan PKP dari 10 Jun hingga 31 Ogos, tiada lagi sekatan rentas negeri

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia akan diteruskan dari 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020, dengan lebih banyak kelonggaran di bawah arahan baharu, PKP Pemulihan (PKPP). Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas petang ini.

Antara perkara yang dilonggarkan bermula 10 Jun nanti ialah, tiada lagi larangan rentas negeri. Orang ramai boleh pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan bercuti dalam negara, termasuk orang bujang yang sebelum ini tiada kelonggaran untuk bergerak rentas negeri. Kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), akibat penularan COVID-19 yang banyak di tempat tersebut.

Kelonggaran ini juga membolehkan hampir semua aktiviti sosial dan perniagaan beroperasi semula, secara berperingkat. Antaranya perkhidmatan gunting rambut dan salun, pasar terbuka seperti pasar malam, pasar tani dan pasar tamu, serta medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan.

Aktiviti berkumpul juga dibenarkan seperti mesyuarat dan bengkel, tetapi ia perlu mematuhi syarat protokol kesihatan dan mengomptimumkan ruang.

Perayaan dan aktiviti keagamaan juga diberi kebenaran. Sambutan hari Raya AidilAdha dan ibadah korban boleh dilakukan tetapi tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama negeri. Bagi solat jemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat lain, kerajaan masih memperhalusi kebenaran lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan dan akan diumumkan tidak lama lagi.

Untuk sukan pula, ia boleh dijalankan selagi mana patuh kepada SOP. Ini termasuk latihan dan aktiviti berkumpulan di luar seperti berbasikal dan konvoi motosikal. Perkara yang masih dilarang ialah aktivit yang melibatkan perhimpunan penyokong seperti di stadium dan kolam renang awam. Sukan yang bersentuhan juga masih tidak dibenarkan antaranya ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki.

BACA  Masjid dan Surau Selangor dibuka untuk Solat Jumaat kepada semua 3 Julai 2020

Walaupun sudah banyak kelonggaran diumumkan, masih ada perkara yang masih dilarang. Untuk sektor perniagaan antaranya ialah pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke dan taman tema. Aktiviti lain yang dilarang adalah perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti yang melibatkan ramai orang bersesak di sesuatu tempat.

Dengan begitu banyak kelonggaran ini, orang ramai diingatkan untuk terus menjalan norma baharu pasca COVID-19 seperti pemakain pelitup muka di tempat awam, selalu membasuh tangan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan serta penjarakan sosial. Dalam fasa pemulihan ini, ia bukan lagi tanggungjawab kerajaan sebaliknya ia perlu dikuatkuasakan oleh masyarakat sendiri untuk membanteras penularan COVID-19.