Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Aug, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Proton Saga Edisi Ulangtahun ke-35 dilancar terhad 1,100 unit sahaja

Hari ini, syarikat perusahaan otomobil nasional negara, Proton meraikan ulang tahun ke-35 model kereta paling ikonik mereka, Proton Saga. Sejak itu, sebanyak 4,150,035 unit Proton Saga telah dikeluarkan.

Bersempena hari bersejarah ini, Proton memperkenalkan model istimewa, Proton Saga Edisi Ulang Tahun. Hanya terdapat 1,100 unit model istimewa ini dihasilkan, menjadikannya koleksi yang sangat terhad.

Lebih menarik lagi, Proton Saga Edisi Ulang Tahun yang dihasilkan dari model Premium AT, memiliki harga yang kekal sama, tiada penambahan harga iaitu RM39,800 sahaja. Harga ini tidak termasuk insuran, cukai jalan dan aksesori tambahan.

Apa yang menjadikan kereta ini eksklusif ialah warnanya, di dalam dan di luar. Saga Edisi Ulang Tahun didatangkan dalam warna hitam, dengan beberapa warna kuning diselitkan padanya. Warna kuning ini boleh dilihat di luar, di bawah bonet depan dan di cermin sisi. Di bahagian dalam, warna kuning ini terdapat di bahagian pendingin hawa, di konsol tengah, serta di papan odometer.

Proton turut melancarkan pakej aksesori yang boleh dipasang pada model Saga 2019 sedia ada, iaitu skirt depan, skirt sisi, visor, penebat bonet, penutup but dan dulang but. Pakej aksesori digabungkan ini berharga RM2,305, penjimatan sebanyak RM315 berbanding dibeli berasingan.

Selain itu, Proton turut mengumumkan semua model kereta Proton akan dipasang dengan penapis kabin N95, yang mana sebelum ini terdapat pada Proton X70 sahaja. Pemilik kereta Proton sedia ada, turut boleh membeli penapis kabin N95 ini pada harga diskaun 15% iaitu RM50.15, tidak termasuk caj pemasangan. Diskaun ini diberikan sehingga 9 Oktober 2020 dan akan bertukar ke harga asal RM59 selepas itu.

Tempahan Proton Saga Edisi Ulang Tahun dibuka bermula hari ini, 9 Julai 2020. Kepada yang berminat untuk menempah, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana pusat jualan Proton, atau pun melakukannya secara dalam talian di laman web www.proton.com. Cepat, ada 1,100 unit sahaja.

BACA  Hampir 1 bilion Pokemon ditangkap minggu lepas

Proton Saga Edisi Ulang Tahun yang memiliki spesifikasi yang sama dengan model Premium AT, datang dengan enjin 1.3L DOHC VVT yang dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan. Untuk keselamatan, ia dilengkapi 2 beg udara di depan, sistem brek ABS dengan EBD, kawalan daya tarikan (traction), kawalan penstabil serta bantuan naik bukit.

Kelebihan model premium berbanding standard ialah lampu LED DRL, rim aloi 15-inci, sistem infotaimen dengan skrin 7-inci bersama kawalan stering dan kamera belakang, sensor parking depan dan belakang serta 4 pembesar suara.