Google baru sahaja mengumumkan telefon pintar kelas pertengahan mereka, Pixel 4a pada awal bulan ini yang berjaya menarik minat ramai. Tetapi Google diilihat akan melancarkan dua lagi telefon pintar tidak lama lagi, iaitu Pixel 5 dan Pixel 4a 5G. Mereka telah memuat naik laman mikro mengenai dua telefon pintar baru ini.
Dari laman tersebut, Google menyatakan bahawa kedua-dua telefon ini akan menyokong rangkaian 5G dan hanya akan terdapat di Amerika Syarikat, Kanda, United Kingdom, Ireland, Perancis, Jerman, Jepun, Taiwan dan New Zealand. Seperti biasa, tiada Malaysia di dalamnya.
Google turut menerangkan bahawa peranti 5G terbaru mereka ini akan dijual pada harga bermula dari USD 499 (~RM2,083). Pastinya ini harga untuk Pixel 4a 5G dan ia lebih mahal USD150 berbanding harga permulaan Pixel 4a, iaitu USD349 (~RM1,457) dengan kuasa Snapdragon 730, RAM 6GB dan storan 128GB.
Sementara belum ada maklumat rasmi tentang telefon ini, telah ada berita terbocor yang mula tersebar. Androidcentral memaklumkan, mereka telah menerima berita secara eksklusif yang menerangkan dengan teliti tentang dua telefon Google yang akan datang ini.
Dari segi paparan, Pixel 5 akan menggunakan skrin berukuran 6-inci manakala Pixel 4a 5G pula lebih besar, berukuran 6.2-inci. Walaupun Pixel 4a memiliki skrin lebih kecil 5.81-inci, ia memiliki badan yang sama besar dengan Pixel 5, kerana Pixel 5 mengunakan bingkai jauh lebih nipis.
Bagi Pixel 5 lagi, ia akan menggunakan skrin OLED dengan kadar penyegaran 90Hz, tetapi maklumat untuk Pixel 4a 5G masih belum diketahui.
Selain itu, Pixel 5 akan dilengkapi dua kamera belakang, gandingan kamera utama dan kamera ultra lebar, berbeza dengan Pixel 4 yang menggunakan kamera telefoto. Bateri di Pixel 5 juga akan lebih besar dari Pixel 4, bukannya 3,080mAh. Telefon ini juga akan menyokong pengecasan wayarles Qi 15W dan pengecasan wayarles terbalik 5W. Tetapi maklumat untuk Pixel 4a 5G juga masih tidak diketahui.
Kuasa pemproses untuk Pixel 5 dan Pixel 4a 5G akan menggunakan cip Snadpragon 765G, sama seperti di OnePlus Nord. Sementara tiada maklumat tambahan untuk Pixel 4a 5G, Pixel 5 akan dilengkapi RAM 8GB dan storan 128GB.
Dalam berita lain pula, pembocor berita terkenal OnLeaks, telah berkongsi gambaran Pixel 5 menerusi laman web PriceBaba. Gambar tersebut menepati rupa sisi telefon yang dimuat naik di laman web Google. Apa yang boleh dikatakan adalah Pixel 5 menggunakan lubang di skrin untuk satu kamera hadapan, menjadikan bingkainya lebih kecil dan nipis. Ia juga menggunakan pengimbas capjari di belakang.
Sumber: AndroidCentral
Gambar: OnLeaks x PriceBaba