Pengguna Unifi Mobile juga melaporkan gangguan talian mudahalih

KEMASKINI 5.30PM: Unifi menyatakan ada gangguan talian internet 3G & 2G. Tiada masalah di kawasan liputan 4G.


Sementara ramai pengguna Celcom dan MVNO (syarikat perkhidmatan mudahalih maya) di bawahnya seperti Yoodo, Tunetalk dan OneXOX berhadapan gangguan internet, pengguna Unifi Mobile juga melaporkan masalah yang sama. Tetapi ia sedikit berbeza.

Ada beberapa pengguna Unifi Mobile masih dapat berhubung ke internet, tetapi tiada panggilan keluar boleh dibuat. Namun ada juga yang tidak dapat bersambung ke internet langsung.

Walaupun Unifi Mobile memiliki infrastruktur talian 4G sendiri, mereka menyewa talian 2G dan 3G daripada Celcom. Kaitan antara Unifi Mobile dan Celcom masih belum jelas, tetapi ini mungkin sebabnya.

Pada bulan Julai lepas, pengguna Celcom di Pulau Pinang berhadapan gangguan talian mudah alih akibat masalah dari TM yang menyediakan sambungan kabel ke menara pemancar. Ini satu lagi teori tetapi kita perlu nantikan pengesahan dari TM sendiri.