Jika ada perkara yang tepat dilakukan Samsung tahun ini, kami akan memilih pelancaran Galaxy S20 Fan Edition (FE). Ini kerana ia menepati keinginan peminat yang mahukan peranti berprestasi tinggi, pada harga yang lebih mampu dimiliki tanpa mengorbankan ciri-ciri flagship.
Hari ini, Samsung Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan memperkenal varian Galaxy S20 FE pada harga lebih murah. Dengan membuang sokongan 5G.
Telefon pintar Samsung Galaxy S20 4G akan dijual di Malaysia pada harga RM2,699 sahaja, bermula dari 11 November 2020. Buat masa ini, Samsung Malaysia belum mengesahkan sama ada varian 4G ini masih menggunakan pemproses Snapdragon 865, atau Exynos 990. Kapasiti RAM dan storan juga masih tidak diketahui. Lain-lain perkara dijangka adalah sama.
KEMASKINI: Samsung Malaysia mengesahkan, Galaxy S20 FE 4G dikuasakan pemproses Exynos 990 dan storan 128GB sahaja.
Dengan perbezaan RM700 dari varian 5G yang berharga RM3,399, kami jangkakan varian 4G ini ada storan lebih kecil. Berkemungkinan RAM masih sama, 8GB tetapi storan hanya 128GB. Berbanding 256GB di varian 5G.
Skrin telefon ini dari jenis Super AMOLED Infinity-O berukuran 6.5-inci, dengan kadar penyegaran 120Hz. Baterinya berkapasiti 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 25W melalui USB-C, serta pengecasan wayarles terus dan terbalik.
Terdapat 3 kamera di belakangnya iaitu kamera utama 12MP F1.8 dengan dwi-piksel AF dan OIS, kamera ultra lebar 12MP F2.2 dan kamera telefoto 8MP F2.4 berkeupayaan zum optikal 3x. Kamera ini turut boleh mengezum digital sehingga 30x. Bagi kamera hadapan, ia menggunakan sensor 32MP F2.0 dan terletak di dalam lubang di atas skrin.
Samsung juga mengekalkan fungsi kalis air IP68 di telefon ini, serta sistem bunyi stereo. Selain itu, ia memiliki pengimbas capjari di dalam skrin serta dilengkapi WiFi 6 dan Bluetooth 5.0.
Untuk versi 4G ini, hanya ada 3 warna disediakan iaitu Cloud Lavender, Cloud Orange dan Cloud Red. Maklumat lanjut boleh didapati di laman produk Samsung Galaxy S20.