Xiaomi melancar Mi 11 masih dengan pengecas, tetapi di luar kotak

Xiaomi hari ini menjadi pengeluar pertama melancarkan telefon pintar menggunakan pemproses terbaru, Qualcomm Snapdragon 888. Bagaimanapun, hanya satu versi sahaja dilancarkan kali ini. Mi 11 tidak diperkenal bersama varian lain seperti Pro, Max atau Ultra.

Seperti yang diumumkan lebih awal, Mi 11 tidak datang bersama kepala pengecas di dalam kotak. Kotaknya juga kini lebih nipis, menyerupai kotak iPhone 12 yang mempolopori ketiadaan pengecas di dalam kotak.

Spesifikasi

Xiaomi melengkapkan prestasi yang terbaik ada masakini ke dalam Mi 11. Ia dimulakan dengan kuasa pemproses Snapdragon 888, dibina berasaskan proses 5nm dengan kelajuan sehingga 2.84GHz. Kuasa ini digandingkan bersama RAM LPDDR5 6400Mbps lebih baharu, berkeluasan sehingga 12GB. Storannya pula dari jenis UFS3.1 dengan saiz sehingga 256GB.

Untuk paparan, Xiaomi menyifatkan ia adalah skrin terbaik di pasaran. Skrinnya dari jenis AMOLED berukuran 6.81-inci melengkung di sisi, memiliki resolusi tinggi 2K (3200×1440) dengan kepadatan 515 PPI, serta kadar penyegaran 120Hz. Skrin ini menyokong paparan HDR10+, dengan tahap kecerahan setinggi 1,500nits dan dilapisi kaca terbaik Corning, Gorilla Glass Victus yang lebih tahan lask. Terdapat lubang kecil di sudut atas untuk kamera hadapan.

Antara perkara paling dibanggakan Xiaomi dalam pelancaran ini, adalah speaker stereo di Mi 11. Ini kerana sistem bunyi ini ditala oleh pakar audio terkenal, Harman Kardon. Logo besar Harman Kardon sangat jelas kelihatan di tepi jeriji bunyi.

Untuk kamera, Xiaomi memasang hanya 3 kamera di belakang. Ia dipasang kamera utama 108MP F1.85 dengan sensor besar berukuran 1/1.33-inci dan penstabil imej optikal (OIS). Sensor ini menyokong teknologi ‘pixel-binning’ 4-dalam-1, menggabungkan piksel berhampiran kepada piksel besar 1.6-mikron, untuk menangkap lebih cahaya agar hasil gambar lebih cerah.

Kamera kedua pula ialah kamera ultra lebar 13MP F2.4 bersudut luas 123-darjah. Manakala kamera ketiga adalah kamera telemakro 5MP F2.4 berautofokus. Kamera hadapannya menggunakan sensor 20MP. Untuk video, kamera belakang boleh merakam sehingga resolusi 8K 30fps, manakala di hadapan sehingga 1080p 60fps.

Tenaga di Mi 11 disalurkan dari bateri berkapasiti 4,600mAh. Ia menyokong pengecasan pantas berwayar 55W melalui USB-C dan wayarles 50W. Ia juga boleh mengecas wayarles terbalik sehingga 10W. Tetapi seperti dikatakan awal tadi, kepala pengecas tidak disertakan di dalam kotak.

Lain-lain perkara yang terdapat di Mi 11 adalah sambungan WiFi 6, dwi-sim 5G, NFC, Bluetooth 5.2 dan pemancar infra merah. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin, malah ia turut boleh digunakan mengesan denyutan nadi.

Varian, warna dan harga

Xiaomi menyediakan tiga varian Mi 11 di China, bersama lima pilihan warna. Pilihan warna ini dibahagikan kepada dua jenis kemasan belakang. Untuk kemasan kaca, ia boleh dipilih antara warna hitam, putih dan biru. Manakala kemasan kulit vegan, boleh didapati dalam warna oren dan ungu.

Varian dan harga jualannya di China adalah seperti berikut:

  • Mi 11 (8GB+128GB) – CNY 3,999 (~RM2,480)
  • Mi 11 (8GB+256GB) – CNY 4,299 (~RM2,666)
  • Mi 11 (12GB+256GB) – CNY 4,699 (~RM2,914)

Pengecas GaN 55W ada dijual berasingan (CNY 99, ~RM61) tetapi turut diberikan percuma. Kerana alam sekitar, pembeli Mi 11 diberi pilihan untuk menerima pengecas percuma secara berasingan atau tidak. Tempahan awal untuk pasaran China dibuka bermula malam ini.

Penjualan di negara lain masih belum diketahui. Untuk Mi 10 yang lepas, ia dilancarkan di pentas global sebulan selepas China, dan tiba di Malaysia selepas dua bulan dilancar di China.

Jika dijual di Malaysia kelak, adakah Xiaomi akan memberi pilihan yang sama untuk menerima pengecas secara percuma atau tidak? Jangan kedekut ya Xiaomi Malaysia.

Bacaan Berkaitan