Portal myEG, JPJ, SPR diguna untuk korek maklumat individu sasaran Macau Scam

Polis berjaya menahan 22 warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan Macau Scam. Mereka ditahan ketika serbuan dilakukan antara pukul 7 pagi dan 4 petang di sebuah premis di Ipoh yang menjadi pusat operasi panggilan mereka.

Penahanan tersebut melibatkan 19 lelaki dan tiga wanita yang berumur 20 hingga 46 tahun. Dalam serbuan itu, polis telah merampas pelbagai barang termasuk dua kereta, tiga komputer riba, 47 telefon bimbit, 12 pasport dan 37 set skrip.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, beliau berkata sindiket ini sudah beroperasi lebih kurang dua tahun lalu dan bergiat aktif sejak April 2018.

Taktik Macau Scam mencari maklumat mangsa

Dari 1 Januari hingga 28 Disember 2020, sebanyak 2,226 kes penipuan panggilan direkodkan di seluruh negara melibatkan kerugian mangsa melebihi RM172 juta. Manakala sepanjang operasi sindiket ini, mangsa yang terlibat mengalami kerugian sebanyak RM360,000.

Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket tersebut menggunakan aplikasi terbaharu di pasaran sebagai media untuk berkomunikasi dengan mangsa. Mereka juga memperolehi maklumat mangsa sasaran menerusi Dark Web.

Selain itu, suspek turut menggunakan portal MyEG, JPJ dan SPR untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang mangsa. Tidak pasti bagaimana cara yang digunakan oleh mereka, kerana portal tersebut mempunyai sistem pin nombor untuk masuk ke dalam akaun seseorang.

Seterusnya, setelah banyak maklumat diperolehi, mereka akan melakukan penyamaran sebagai pegawai khidmat pelanggan Telekom Malaysia dan pegawai polis untuk memperdaya mangsa bagi mendapatkan wang.

Adakah ini bermakna, maklumat yang dikongsikan di dalam portal digital kerajaan berada dalam keadaan yang tidak selamat? Walaubagaimanapun, sebagai pengguna yang bijak, anda boleh melakukan beberapa cara bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa scam.

Cara elak dari menjadi mangsa Scam

  1. Jangan jawab panggilan daripada nombor telefon dari luar negara yang tidak dikenali, melainkan nombor tersebut adalah senarai kenalan anda.
  1. Jangan berikan sebarang maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, password perbankan online, kod CVV pada kad bank anda atau pun nombor TAC anda kepada pihak yang tidak dikenali.
  1. Jangan panik jika terima panggilan daripada bank atau pihak penguatkuasa mengenai sebarang masalah undang-undang melibatkan anda. Semak nombor telefon bank anda atau pihak penguatkuasa undang-undang di laman web rasmi seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan.
  1. Jangan memuat turun sebarang aplikasi jika anda diminta berbuat demikian kerana dikhuatiri mengandungi virus yang mungkin dapat mendedahkan butiran peribadi anda.
  1. Hubungi Penyedia Perkhidmatan anda jika anda menerima panggilan yang tidak dikenali berulang kali.
  1. Gunakan aplikasi seperti Truecaller bagi mengenal pasti panggilan dan menyekat panggilan spam.

[Sumber: Malaymail, FMT]