Edisi Istimewa OnePlus Buds Z Steven Harrington akan dijual di Malaysia pada harga yang sama

Fon telinga TWS OnePlus Buds Z, telah dijual di Malaysia sejak akhir tahun lepas berharga RM229. Hari ini, OnePlus mengumumkan kedatangan edisi istimewa yang dihasilkan dengan kerjasama pelakar terkemuka dari Los Angeles, Steven Harrington.

Jualan hari pertama edisi istimewa ini akan bermula pada hari Khamis, 14 Januari 2021 dari pukul 12 tengah malam. Bagaimanapun, ia hanya boleh dibeli di Stor Rasmi OnePlus di Shopee sahaja.

Menariknya, OnePlus tidak menaikkan harga untuk edisi istimewa ini. Ia dijual pada harga yang sama seperti edisi biasa, iaitu RM229 sahaja.

Edisi istimewa ini tidak memiliki spesifikasi yang berbeza, tidak hairanlah harganya sama. Perbezaannya adalah pada hiasan luar, diselaputi lakaran unik dan comel oleh Steven Harrington.

Menggunakan warna bertenaga gandingan ungu dan hijau, ia menampilkan beberapa ikon seperti “Cool Cat”, pokok, daun, muka dan sebagainya. Orang ramai pasti berpaling untuk melihat warna yang berbeza dari putih, apabila disumbat ke dalam cuping telinga.

Spesifikasi

OnePlus Buds Z adalah fon kepala yang lebih murah dari OnePlus Buds, dengan rekaan seperti AirPods Pro. Perbezaannya dari OnePlus Buds, adalah ia menggunakan getah penyumbat dalam telinga yang boleh diganti.

Fon kepala ini memiliki hayat bateri sehingga 5 jam untuk memainkan lagu, atau sehingga 20 jam bersama bekas pengecas. Mengecas 10 minit pula memberikan masa mendengar lagu sehingga 3 jam.

Sistem bunyi pula dihasilkan menerusi pemacu audio dinamik 10mm. Ia ditambah teknologi Bass Boost untuk memberikan bunyi bass yang lebih mendalam. Jika digunakan bersama peranti OnePlus yang serasi, Mod Fnatic membolehkan kependaman serendah 103ms, memastikan bunyi yang tepat didengari pada masanya, terutama ketika bermain game aksi.

OnePlus Buds Z juga kalis percikan air dan peluh IP55. Ini menjadikannya fon kepala yang lebih sesuai digunakan semasa aktiviti kecergasan, atau berjalan di bawah hujan renyai.

Sambungan Bluetooth 5.0 menghubungkan OnePlus Buds Z dengan peranti, sehingga 10 meter jauh. Ia menyokong fungsi Quick Pair dan Quick Connect, cara pantas memadankannya dengan telefon pintar Android semudah membuka bekas pengecas dan ia terus terpapar di skrin telefon.

Tiada fungsi penyaring hingar aktif (ANC) terdapat di OnePlus Buds Z tetapi ia menyediakan algoritma pengurangan bunyi bising ketika membuat panggilan, menerusi 2 mikrofon terbina di dalam.

Bacaan Berkaitan