Xiaomi Mi Watch tiba di Malaysia, hayat bateri 16 hari & GPS sehingga 50 jam

Xiaomi hari ini mengumumkan ketibaan jam pintar Mi Watch ke Malaysia. Ia pertama kali diperlihatkan sewaktu pelancaran Mi 10T Pro di Malaysia pada Oktober tahun lepas, tetapi pada tahun 2021 baru ia dijual di Malaysia.

Harga & Tarikh Jualan

Mi Watch akan mula dijual di Malaysia pada hari Rabu, 20 Januari 2021 di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee, serta di Mi Store dan pengedar sah Xiaomi di seluruh Malaysia. Harganya pula, cuma RM469. Tiada promosi jualan awal diadakan, hanya jual dan beli.

Spesifikasi Mi Watch

Mi Watch adalah jam pintar jauh lebih berkuasa dan bergaya, dari Mi Watch Lite yang telah dilancar di Malaysia hujung tahun lepas. Muka jamnya berbentuk bulat 1.39-inci, menggunakan paparan AMOLED dengan resolusi 454×454 dan kecerahan sehingga 450 nits.

Bateri yang besar di dalam, berkapasiti 420mAh memberikan hayat tenaga sehingga 16 hari. Malah, mod GPS boleh digunakan sehingga 50 jam secara berterusan. Pengecasan boleh dibuat menggunakan pengecas dok magnetik yang melekat di belakang jam.

Sebagai jam pintar, Mi Watch memiliki banyak sensor untuk aktiviti kecergasan. Antaranya pengira langkah dan tidur, serta pengimbas denyutan nadi PPG yang boleh mengesan tahap oksigen dalam darah, SpO2.

Pengesan lokasi GPS turut terbina di dalam, bersama sensor geomagnetik untuk arah kompas dan sensor barometer untuk mengesan tahap tekanan udara. Ia juga kalis air 5ATM, membolehkan ia digunakan semasa berenang.

Mi Watch memiliki butang khas di sisi untuk akses pantas ke 117 mod kecergasan. Malah, ia boleh mengesan secara automatik jenis aktiviti pengguna, untuk dikategorikan mengikut mod kecergasan yang berkenaan.

Fungsi pintar lain yang terdapat pada Mi Watch adalah seperti menerima notis dan mesej, menjadi butang penangkap gambar telefon pintar dan kawalan suara melalui Amazon Alexa.

Mi Watch boleh berhubung dengan peranti menggunakan sambungan Bluetooth 5.0 BLE dan serasi digunakan bersama peranti Android 4.4 ke atas, serta iOS 10.0 dan ke atas. Untuk menyimpan rekod kecergasan dan analisa data, pengguna boleh memuat turun aplikasi Xiaomi Wear.

Terdapat tiga warna Mi Watch boleh dipilih antara hitam, biru navy dan beige.