Perbandingan penalti perlu anda bayar bila tamatkan kontrak broadband mengikut ISP

Kontrak 24 bulan bila anda langgan pelan broadband di rumah adalah satu perkara biasa. Ia bolehkan anda dapatkan servis Internet tanpa perlu bayar pendahuluan yang mahal malahan ada juga sediakan router percuma.

Anda pasti akan berada dalam situasi apabila perlu tamatkan kontrak lebih awal atas sebab-sebab tertentu. Bila anda lakukan sedemikian, berapakah penalti yang perlu anda bayar? Untuk mengetahuinya, kami bandingkan maklumat lima penyedia internet (ISP) utama negara iaitu:

  1. TM Unifi
  2. Maxis
  3. Time
  4. Digi
  5. Celcom

Maklumat yang kami perolehi adalah yang diekstrak daripada laman FAQ dan T&C ISP dan juga dariapda khidmat pelanggan.

TM Unifi

Peneraju penyedia perkhidmatan jalur lebar negara mliliki kira-kira 5 juta pelanggan. Polisi penamatan kontrak TM Unifi ada beberapa jenis, bergantung kepada bilakah anda mula melanggan.

Seperti yang dijelaskan oleh TM, ada tiga kategori pelanggan Unifi iaitu:

  • Langganan sebelum 2018
  • Langganan selepas 2018
  • Pelanggan unifi Lite

Kesemuanya diikat selama 24 bulan, tapi pelanggan Unifi Home selepas 2018 perlu membayar baki komitmen bulanan menurut kontrak. Buat pelanggan Unifi Lite dan Home sebelum 2018, mereka hanya perlu bayar penalti masing-masing RM350 dan RM500.

Perubahan polisi penamatan kontrak ini agak besar bezanya. Cuba bayangkan anda melanggan pelan RM199/bulan dan ingin tamatkan kotrak pada bulan ke-10, anda kena bayar RM1,990 sedangkan untuk pelanggan sebelum 2018 cumalah RM500.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda berpindah ke satu lokasi diluar cakupan Unifi Fiber, anda boleh memohon dikecualikan daripada dikenakan penalti.

Sekiranya anda ingin tamatkan kontrak lebih awal, notis 30 hari perlu diberikan disamping anda perlu pulangkan BTU (Broadband Termination Unit), gajet yang berada antara port fiber dengan router anda ke TMPoint terdekat. Jika tidak, ada penalti tambahan sebanyak RM500.

Maxis

Maxis mungkin adalah pencabar terkuat Unifi. ISP ini maklumkan yang mereka miliki cakupan jalur lebar teluas di Malaysia kerana mereka memanfaatkan tunjang HSBB TM, SACOFA di Serawak, Celcom di Timur Sabah, dan Allo milik TNB.

Seperti Unifi, Maxis juga dikesan telah mengubah T&C mereka untuk penamatan kontrak. Ada dua kategori pelanggan bila melibatkan hal-hal kontrak iaitu:

  1. Pelanggan sebelum 23 November 2020
  2. Pelanggan pada/selepas 23 November 2020

Buat pelanggan dalam kategori 1, mereka cuma perlu bayar penalti RM500 manakala pelanggan kategori 2 perlu bayar baki langganan ataupun RM500, mana-mana yang lebih tinggi.

Namun, Maxis lebih baik daripada Unifi sebab mereka akan tamatkan kontrak secara automatik sekiranya mereka tak mampu sediakan perkhidmatan di tempat yang anda pindah, tak seperti Unifi bila anda perlu mohon untuk dikecualikan penalti. Tambahan pula, Maxis tak perlukan anda hantar notis awal sekiranya anda ingin tamatkan langganan dan kegagalan memulangkan BTU boleh menyebabkan anda dikenakan penalti RM200.

Time

Penalti untuk penamatan kontrak lebih awal di Time adalah RM500. Walau bagaimanapun, anda perlu berikan notis sekurang-kurangnya 7 hari sebelum kitaran bil yang berikutnya. Notis boleh diberikan dengan menelefon mereka atau secara e-mel.

Sekiranya anda berpindah ke lokasi di luar liputan Time, penalti penamatan kontrak tetap dikenakan. Untuk alternatif, Time juga sediakan langganan tanpa kontrak kalau-kalau anda taknak terikat dengannya. Tapi, anda perlu bayaran pendahuluan yang tinggi iaitu RM400 untuk pelan 100Mbps dan 500Mbps manakala pelan 1Gbps perlukan bayaran pendahuluan RM500.

Bila nak tamatkan langganan, anda perlu berikan notis 30 hari kepada pihak TIME sekiranya anda tidak lagi terikat dengan kontrak. Menariknya, TIME tidak mengarahkan anda pulankan BTU bila anda tidak lagi melanggan perkhidmatan mereka.

Tapi, anda perlu pulangkan kelengkapan Wi-Fi Mesh bila anda berolehnya daripada promo time.

Digi

Digi pun ada servis broadband dan ia adalah antara yang termurah dalam pasaran. Kami dapati yang Digi adalah ISP paling senang syarat untuk tamatkan kontrak lebih awak.

Anda cuma perlu bayar RM500 di mana-mana Digi Store lebih baik, anda tak perlu pulangkan apa-apa kelengkapan yang dibekalkan semasa anda melanggan Digi. Kemudian, anda juga boleh memohon untuk dikecualikan penalti sekiranya kawasan baru anda tidak miliki liputan Digi.

Celcom

Seperti Digi, Celcom juga miliki polisi penamatan kontrak yang mudah. Penalti RM500 boleh dikecualikan sekiranya anda berpindah ke lokasi yang tiada liputan.

Tapi, anda masih perlu pulangkan BTU kepada pihak mereka dan Celcom ada sediakan servis pickup daripada kediaman pelanggan untuk tujuan tersebut. Sekiranya BTU gagal dipulangkan, penalti RM200 boleh dikenakan.

Penalti bayaran mengikut baki langganan adalah mengarut

Dalam kalangan semua ISP, TIME, Digi, dan Celcom tawarkan fi penalti paling rendah jika anda ingin tamatkan kontrak lebih awal, tak kiralah berapa lama baki langganan. Berbeza pula dengan pelanggan baru Unifi dan Maxis, mereka perlu penalti bersamaan dengan baki komitmen bulanan yang sangat tinggi jika baki langganan masih panjang.

Semua ISP kecuali Maxis dan Time ada polisi pengecualian penalti sekiranya anda berpindah ke lokasi yang tiada liputan fiber. Perkara ini kami rasakan adil kerana ia bukanlah masalah pelanggan bila penyedia tak mampu sediakan perkhidmatan di lokasi pelanggan.

Satu lagi perkara renyah adalah anda perlu pulangkan kelengkapan BTU untuk pelanggan Unifi, Maxis, dan Celcom. Mujurlah Celcom terlebih rajin untuk datang mengambilnya daripada anda tapi baki dua ISP perlukan anda hadir ke pusat servis untuk pulangkan kelengkapan.

Kami rasakan polisi penalti berdasarkan baki bulan langganan adalah keterlaluan kerana kenapa pelanggan perlu bayar servis yang mereka tak guna? Penalti one-off RM500 sepatutnya cukup untuk merangkumi kerugian ISP dan tidak terlalu membebankan pelanggan.

Satu lagi polisi yang pelik adalah kenapa perlu pulangkan kelengkapan walaupun selepas kontrak tamat? Kalau kelangkapan itu telah lapuk, adakah ISP akan kitar semulanya?