Ini rakaman perbincangan vaksin Covid-19 YB Khairy daripada Clubhouse

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin telah mengehoskan satu bilik sembang di APP Clubhouse bagi membincangkan vaksin COVID-19 dan pelan vaksinasi di Malaysia. Sebelum sesi bermula, beliau bersetuju yang perbincangan ini direkodkan.

Disebabkan Clubhouse hanya terbuka untuk platform iOS saja, kami berkongsikan rakaman perbincangan kira-kira 2 jam untuk yang tidak dapat menyertainya.

Perbincangan ini dikendalikan oleh Dr. Helmy Haja Mydin (Ahli Pulmonologi & Ketua Pusat Peparu di Hospital Pantai). Senarai ahli panel yang ada adalah seperti:

  1. Tan Sri Dr Jemilah Mahmood (Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada PM)
  2. Dr Kalairasu Peariasamy (Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal KKM)
  3. Dr Giri Rajahram (Doktor Pakar Penyakit Berjangkit)
  4. Dr Akhmal Yusof (Ketua Pegawai Eksekutif, Penyelidikan Klinikal Malaysia)

Perbincangan yang bermula pada 9 malam itu menyentuh pelbagai aspek berkaitan vaksin COVID-19 seperti keselamatan, keberkesanan, dan cabaran daripada segi logistik mahupun tentangan daripada golongan antivaksin.

Bilik sembang Clubhouse ini mencapai jumlah penyertaan sekitar 3.2 ribu dan pada satu ketika, moderator telah membuka sesi soal jawab bersama peserta.

Antara intipati penting daripada YB Khairy adalah vaksin bukanlah diambil untuk menyelamatkan diri sendiri tapi orang lain juga. Hal ini kerana, tiada yang selamat melainkan semua orang selamat. Objektif utama pelan vaksinasi adalah untuk mewujudkan satu komuniti cukup besar yang miliki kerintangan terhadap COVID-19 bagi memutuskan rantaian jangkitan.

YB Khairy juga menyeru semua orang mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin apabila ruang pendaftaran dibuka sekitar Mac 2021.

Kumpulan pertama vaksin akan tiba di Malaysia pada 21 Februari 2021 manakala sesi vaksinasi fasa pertama akan bermula 26 Februari 2021. PM Muhyiddin Yassin akan jadi yang pertama menerima suntikan.

Menariknya, Korea Selatan juga memilih 26 Februari 2021 untuk mulakan program vaksinasi mereka.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh baca artikel kami berkaitan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan ataupun pergi ke laman rasmi program tersebut.