Samsung mahu lancar telefon Galaxy Awesome minggu hadapan

Samsung hari ini telah mengeluarkan jemputan kepada media untuk menyertai satu majlis pelancaran yang dikenali sebagai “Galaxy Awesome Unpacked“. Ia kedengaran seperti majlis pelancaran peranti flagship Galaxy S iaitu “Galaxy Unpacked”, tetapi apakah makna “Awesome” di dalamnya?

Acara ini akan diadakan secara dalam talian, pada 17 Mac 2021 pukul 10 malam waktu Malaysia. Orang ramai boleh menonton upacara pelancaran ini menerusi Facebook Samsung Malaysia.

Jadi apakah yang akan diperkenal oleh Samsung nanti? Kita boleh meneliti petunjuk yang terdapat dari gambar yang dikongsi serta nama majlis ini sendiri.

Sebenarnya, perkataan “Awesome” telah banyak kali digunakan oleh Samsung sebagai tema untuk siri Galaxy A. Boleh dilihat sebelum ini apabila Samsung melancarkan Galaxy A51 dan Galaxy A71 dan melantik kumpulan k-pop popular, BlackPink sebagai duta. Samsung turut menghasilkan video muzik Awesome yang menampilkan BlackPink di dalamnya.

Pada gambar jemputan acara ini juga, kelihatan seorang wanita memegang payung untuk mengelak dari basah. Ini boleh diterjemahkan kepada peranti yang kalis air dan ia selari dengan maklumat yang dikongsikan oleh Evan Blass, pembocor berita terkenal.

Menurut Evan, Samsung akan melancarkan dua telefon pintar Galaxy A iaitu Galaxy A52 dan Galaxy A72. Menariknya, Galaxy A52 akan dilengkapi ciri kalis air dan debu, menjadikannya telefon pintar Galaxy A pertama memiliki ciri ini.

Galaxy A52. Sumber

Dalam laporan lain pula, Galaxy A72 dikatakan akan hadir dengan kalis air dan speaker stereo. Ini juga pertama kali ada untuk siri Galaxy A.

Apakah Samsung akan melancarkan Galaxy A52 dan Galaxy A72 pada 17 Mac nanti? Adakah ia akan dilengkapi 5G memandangkan Samsung Malaysia telah pun melancarkan Galaxy A42 5G di Malaysia. Nantikan laporan kami mengenainya pada majlis pelancaran nanti.

Bacaan Berkaitan