Diskaun RM500 untuk tempahan awal laptop Acer Nitro 5 berkuasa RTX3060

Jika anda mencari laptop untuk bermain game, salah satu model dengan harga mampu milik adalah Acer Nitro 5. Hari ini, Acer Malaysia mengumumkan spesifikasi baru untuk laptop Acer Nitro 5, dilengkapi grafik terbaru NVIDIA GeForce RTX3060 dengan harga promosi.

Orang ramai boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM500 jika membuat tempahan awal Acer Nitro 5 baru ini, di Stor Rasmi Acer di Lazada dan Shopee. Promosi tempahan awal ini dibuka sehingga 17 Mac 2021 sahaja.

Laptop Acer Nitro 5 yang baru ini diletakkan tanda harga RM5,499. Tetapi dalam promosi tempahan awal ini, pembeli boleh mendapatkannya pada harga RM4,999 sahaja.

Prestasi tinggi bermain game boleh dijangka untuk Acer Nitro 5. Ini kerana ia menggunakan kuasa grafik terbaru, NVIDIA GeForce RTX3060 dengan VRAM GDDR6 6GB. Ia dipadankan dengan pemproses Intel Core i7-10750H, RAM DDR4 8GB dan storan SSD M.2 512GB. Pengguna boleh menaik taraf RAM sehingga 32GB, serta storan SSD melalui slot kedua M.2.

Kehebatan laptop ini ditambah lagi dengan skrin IPS 144Hz seluas 15.6-inci, dengan resolusi HD Penuh. Sambungan internet dihubungkan melalui WiFi 6 dan port LAN yang menyokong ciri Killer Ethernet, untuk kelajuan yang lebih terjamin.

Selain itu, ia memiliki sambungan seperti 2x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C, HDMI 2.0 dan jek audio 3.5mm. Ia juga dilengkapi Bluetooth 5.0.

Menambah tarikan di laptop ini ialah papan kekunci berlampu RGB 4-zon. Pengguna juga boleh mengawal kelajuan kipas untuk menyeimbangkan bunyi bising dan pengaliran haba, menerusi aplikasi NitroSense.

Bateri di dalamnya berkapasiti 57.5Wh, boleh memberi tenaga sehingga 9 jam. Berat laptop ini pula 2.3kg, agak biasa untuk sebuah laptop gaming berkuasa tinggi.

Laptop Acer Nitro 5 datang bersama jaminan selama 3 tahun, serta sistem operasi Windows 10 Home 64-bit dan perisian keselamatan McAfee LiveSafe selama 3 tahun. Penghantaran akan dibuat pada hujung bulan Mac.