Galaxy Awesome Unpacked dibongkar sepenuhnya sehari sebelum dilancar

Samsung telah menjadualkan tarikh 17 Mac 2021, pukul 10 malam waktu Malaysia untuk majlis pelancaran Galaxy Awesome Unpacked. Sehingga kini, Samsung tidak bercerita langsung tentang apakah peranti yang akan muncul di acara ini esok.

Walaupun telah banyak khabar angin memperkatakan akan ada 3 model telefon pintar bakal muncul iaitu Galaxy A32, Galaxy A52 dan Galaxy A72, kini kita boleh mengetahui dengan lebih tepat tentangnya. Pembocor berita terkenal, Evan Blass telah berkongsi gambar promosi untuk ketiga-tiga peranti ini, beserta tangkap layar laman produk tersebut.

Menurut Evan, beliau berkongsi tentang galaxy A52 dan Galaxy A72 sahaja, memandangkan maklumat Galaxy A32 sudah Samsung kongsi di laman rasmi mereka.

Secara rasmi, Galaxy A32 akan dilancarkan di samping Galaxy A52 dan Galaxy A72 di acara Galaxy Awesome Unpacked. Sementara Galaxy A32 tampil dalam versi LTE dan 5G, ia akan turut diikuti oleh Galaxy A52 LTE dan Galaxy A52 5G. Tetapi tidak pula di Galaxy A72, ia hanya ada versi LTE, tiada versi 5G.

Galaxy A52, Galaxy A52 5G dan Galaxy A72 kelihatan sangat serupa dari luar. Ia ada empat kamera belakang serta satu kamera hadapan, di dalam lubang atas skrin. Warna yang disediakan untuk ketiga-tiga model ini juga sama iaitu biru, ungu, hitam dan putih.

Dari tangkap layar laman produk Galaxy A52 5G, ia menunjukkan peranti ini memiliki ciri-ciri seperti sokongan kad mikroSD sehingga 1TB, kalis air IP67, OIS di kamera dan skrin Super AMOLED HD Penuh.

Terdapat juga perbandingan yang menunjukkan pebezaan antara Galaxy A52 dan Galaxy A72. Antaranya Galaxy A72 ada kamera zum optikal 3x, bateri lebih besar 5,000mAh serta skrin lebih besar 6.7-inci. Boleh dirumuskan,, lain-lain perkara adalah sama untuk Galaxy A52 dan Galaxy A72.

Semua perkara ini akan kita tahu secara rasmi di pelancarannya esok, 17 Mac 2021 pukul 10 malam waktu Malaysia. Dijangka, harga dan tarikh jualan di Malaysia akan turut diketahui dalam masa terdekat. Nantikan laporan dari kami mengenai majlis pelancaran Galaxy Awesome Unpacked.

[Sumber: @evleaks]

Bacaan Berkaitan