Maxis didenda RM3.3 juta akibat 68 kesalahan dilakukan awal tahun ini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan sebanyak 77 kompaun untuk suku pertama tahun 2021, berjumlah RM3.7 juta di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Maxis merupakan penerima kompaun paling tinggi, sebanyak 68 kompaun dikenakan bernilai RM3.3 juta.

Kompaun tersebut dipecahkan mengikut kategori kesalahan di mana Maxis menerima 67 kompaun bernilai RM3.25 juta kerana kesalahan kegagalan pemegang penguntukan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik di bawah Peraturan 4(2)(PPKM) Penomboran 2016. Selain itu, Maxis juga dikompaun RM50,000 kerana gagal mematuhi Panduan Pendaftaran Pengguna untuk Perkhidmatan Prabayar Awam, di bawah Seksyen 127 AKM 1998.

Selain Maxis, syarikat lain yang turut menerima kompaun adalah U Mobile, sebanyak 7 kompaun berjumlah RM350,000 kerana ketidakpatuhan kepada garis pandungan pendaftaran prabayar pengguna.

Turut sama dikompaun adalah Sistem Television Malaysia Berhad (STMB) dan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), masing-masing sebanyak RM40,000 dan RM20,000 kerana kegagalan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan untuk mematuhi syarat-syarat lesen, di bawah Seksyen 206 AKM 1998. Tidak dijelaskan apakah bentuk kesalahan yang mengakibatkan agensi berita utama negara turut dikompaun.

Menurut SKMM, mereka berusaha memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi mengutamakan hak pengguna termasuk memastikan kebebasan pengguna untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi yang dikehendaki mereka. Tindakan ini selaras dengan Ikrar Mesra Pelanggan yang dimeterai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi pada pertengahan Jun 2019, yang mengikat komitmen mereka untuk melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.

[Sumber: SKMM]

Bacaan Berkaitan