Lenovo pertama kali melancarkan telefon gaming mereka tahun lepas. Tahun ini, ia memasuki generasi kedua dan diberi nama Lenovo Legion Phone Duel 2. Telefon ini baru sahaja dilancarkan oleh Lenovo dan bakal memasuki pasaran China dan antarabangsa.
Lenovo mempromosikan telefon ini dengan pelbagai ciri-ciri “2” padanya. Antaranya ialah dua port pengecas, dua kipas peyejuk, dua motor getaran dan dua pasang butang bahu ultrasonik. Keunikan kamera hadapan boleh sembunyi yang terletak di sisi masih dikekalkan di telefon ini.
Spesifikasi
Telefon pintar ini memiliki kuasa pemproses tertinggi, Snapdragon 888 5nm bersama RAM LPDDR5 sehingga 18GB, terbesar di pasaran masakini. Ia turut dilengkapi storan dalaman UFS 3.1 sehingga 512GB. Kad mikroSD sudah pasti tidak ada tempat di telefon pintar gaming, termasuk di telefon ini.
Sistem penyejukan di telefon ini menggabungkan kebuk wap pasif yang besar diperbuat dari tembaga dan graphite, bersama dua kipas penyejuk aktif untuk penyingkiran haba lebih efektif. Ia diserikan lagi dengan lampu RGB di belakang menunjukkan bahawa ia telefon gaming luar biasa.
Skrinnya kini lebih lebar, berukuran 6.92-inci dari jenis AMOLED HD Penuh, dengan kadar penyegaran 144Hz dan kadar sentuhan 720Hz. Ia memiliki kecerahan setinggi 1,300 nits dan diiktiraf HDR10+. Kaca di atasnya menggunakan Corning Gorilla Glass 5.
Tenaga di Legion Phone Duel 2 disalurkan dari dwi-bateri dengan kapasiti berjumlah 5,500mAh, membolehkan ia mengecas dengan kepantasan setinggi 90W. Bagaimanapun, pengecas 65W diberikan di dalam kotak. Terdapat dua port USB-C, di bawah dan sisi telefon untuk memberi kemudahan mengecas semasa memegang telefon secara mendatar. Pengecasan wayarles pula masih tidak disokong.
Satu perkara unik di Legion adalah kamera hadapan boleh sembunyi, terletak di sisi telefon. Ini memudahkan pengguna membuat rakaman swa-video semasa bermain game. Kamera hadapan ini menggunakan sensor Samsung GH1+ 44MP F2.0, dengan sudut pandang seluas 84-darjah. Kamera belakang pula ada dua iaitu kamera utama 64MP F1.9 dari sensor OmniVision OV64A, dan kamera ultra lebar 16MP F2.2. Seperti biasa, telefon gaming tidak memberi penekanan utama untuk kamera.
Keseronokan bermain game di Legion Phone Duel 2 ditambah lagi dengan sistem bunyi stereo yang menembak bunyi terus ke muka pengguna, dengan sokongan teknologi sistem bunyi sekeliling Dolby Atmos. Ia dikuasakan oleh 7 magnet bersama dwi-amplifier pintar, menyamai pembesar suara 1.6cc. Bagiamanapun, jek audio 3.5mm tiada di telefon ini.
Menambah fungsi gaming canggih di telefon ini adalah dua pasang butang bahu ultrasonik di sisi telefon. Ia bertindak seperti butang L1/L2 dan R1/R2 di alat kawalan konsol. Selain itu, Lenovo juga menambah sepasang lagi butang kapasitif di belakang telefon, menjadikan keseluruhan butang tambahan kepada 6.
Sistem operasi ZUI 12.5 berasaskan Android 11 menjadi penggerak Lenovo Legion Phone Dule 2. Ia diperkasa lagi dengan perisian Lenovo Legion Realm, untuk memberikan maklumat dan info terkini berkaitan game terkini.
Harga dan tarikh jualan
Lenovo Legion Phone Duel 2 ditawarkan dalam dua warna, putih dan hitam. Ia akan dijual di China bermula bulan April, dan pasaran Asia Pasifik dan Eropah terpilih pada bulan Mei.
Harga jualannya di Eropah adalah seperti berikut:
- Legion Phone Duel 2 (RAM 12GB + Storan 256GB) – EUR 799 (~RM3,931)
- Legion Phone Duel 2 (RAM 16GB + Storan 512GB) – EUR 999 (~RM4,915)
Tahun lepas, Legion Phone Duel generasi pertama dijual di Eropah pada harga EUR999 dengan RAM 16GB dan storan 512GB. Di Malaysia, harganya ialah RM3,999 untuk spesifikasi yang sama, dan RM3,399 dengan RAM 12GB dan storan 256GB.
Melihatkan harga yang sama di Eropah, dijangka Legion Phone Duel 2 akan dijual pada harga yang sama di Malaysia kelak. Pasti ia akan memberi saingan sengit buat ASUS ROG Phone 5 nanti, memandangkan harganya mungkin lebih murah untuk RAM dan storan yang sama.