Kuasa Apple M1 tiba di iPad Pro, menyokong sehingga 16GB RAM dan 2TB storan

Di samping melancarkan iMac baru dengan cip Apple Silicon M1, Apple turut mengumumkan satu lagi peranti mereka dengan kuasa cip yang sama. Tablet paling berkuasa dari Apple, iPad Pro kini diperkasa cip Apple M1, memberikannya kuasa menyerupai komputer.

Antara pembaharuan yang diberikan cip M1 kepada iPad Pro adalah sokongan rangkaian 5G. Cip M1 ini juga lebih berkuasa, 50% prestasi CPU lebih tinggi dari cip A12Z Bionic dan 40% prestasi GPU lebih hebat.

iPad Pro M1 kini menyokong RAM sehingga 16GB, bersama storan 2x lebih pantas dengan pilihan kapasiti sehingga 2TB. Gandingan kapasiti yang lebih besar dari pilihan yang ada di iMac M1.

Seperti sebelumnya, terdapat dua saiz skrin untuk iPad Pro, 12.9-inci dan 11-inci. Kedua-duanya menggunakan paparan Liquid Retina dan kadar penyegaran 120Hz. Untuk skrin 12.9-inci, ia ada kecerahan setinggi 1,600 nits dan nisbah kontras 1 juta-ke-1. Menambah kecanggihan paparan ini adalah sokongan ProMotion, True Tone, warna P3, HDR dan Dolby Vision.

Menambah kehebatan iPad Pro M1 adalah sokongan Thunderbolt dan USB 4, melalui port USB-C. Ini memberikannya kapasiti jalurlebar 4x lebih luas dan kepantasan sambungan sehingga 40Gbps. Sokongan Thunderbolt turut membolehkan sambungan paparan luar sehingga resolusi 6K.

Kamera di iPad Pro kelihatan tidak banyak berbeza. Ia masih menggunakan gandingan dua kamera belakang bersama pengimbas LiDAR. Dua kamera tersebut adalah kamera utama 12MP F1.8 dan kamera ultra lebar 10MP F2.4. Kamera hadapan pula 12MP F2.4, terletak di bingkai untuk memberikan skrin penuh tanpa takuk dan lubang.

Harga

iPad Pro dengan kuasa M1 akan mula berada di pasaran pada pertengahan bulan Mei 2021, tetapi maklumat tentang jualan di Malaysia masih tidak diketahui. Bagaimanapun, laman web Apple Malaysia telah menyenaraikan harga tablet terbaru ini bersama semua pilihan yang ada.

Terdapat dua warna disediakan untuk iPad Pro, antara Space Gray dan Silver. Apa yang menarik adalah, Apple masih memberikan kepala pengecas USB-C 20W di dalam kotak. Jadi pembeli tidak perlu membelinya berasingan.

Aksesori yang sama masih boleh digunakan di iPad Pro M1 ini. Antaranya Apple Pencil generasi ke-2 (RM549) dan Magic Keyboard (11-inci RM1,349, 12.9-inci RM1,549)berwarna putih.

Harga rasmi dan varian iPad Pro M1 di Malaysia adalah seperti berikut:

11″ WiFi

  • 128GB – RM3,499
  • 256GB – RM3,949
  • 512GB – RM4,849
  • 1TB – RM6,649
  • 2TB – RM8,449

11″ WiFi + Cellular

  • 128GB – RM4,419
  • 256GB – RM4,599
  • 512GB – RM5,499
  • 1TB – RM7,299
  • 2TB – RM9,099

12.9″ WiFi

  • 128GB – RM4,799
  • 256GB – RM5,249
  • 512GB – RM6,149
  • 1TB – RM7,949
  • 2TB – RM9,749

12.9″ WiFi + Cellular

  • 128GB – RM5,449
  • 256GB – RM5,899
  • 512GB – RM6,799
  • 1TB – RM8,599
  • 2TB – RM10,399