iPhone 12 dan iPhone 12 mini ada warna baru: Ungu

Semasa Apple melancarkan iPhone 12 dan iPhone 12 mini tahun lepas, ia diperkenal dengan 5 pilihan warna. Hari ini, Apple mengumumkan satu warna baru untuk kedua-dua telefon ini, warna Ungu. Ia menyertai warna sedia ada iaitu hitam, putih, merah, hijau dan biru.

Sekilas pandang warna ungu di iPhone 12 ini hampir serupa dengan warna ungu iPhone 11, dengan warna yang cerah dan terang. Perbezaannya ialah iPhone 12 menggunakan kemasan kaca lebih berkilat di belakang, berbanding iPhone 11.

Selain warna, tiada apa yang berbeza pada iPhone 12 dan iPhone 12 mini berwarna ungu ini. Termasuk ketiadaan kepala pengecas dan fon telinga berwayar. Laman web Apple Malaysia telah menyenaraikan warna ungu sebagai “Coming Soon” atau akan datang.

Dalam pengumuman tadi, Apple menyatakan bahawa warna ungu iPhone 12 dan iPhone 12 mini akan berada di lebih 30 negara bermula 30 April 2021, dan tempahan dibuka dari 23 April 2021.

Satu maklumat tambahan yang terdapat di dalam kenyataan Apple adalah, iPhone 12 dan iPhone 12 mini berwarna ungu akan hadir dengan sistem operasi iOS 14.5, yang akan dilepaskan untuk peranti iPhone lain yang menyokongnya tidak lama lagi.

iPhone 12 dan iPhone 12 mini datang dalam pilihan storan 64GB, 128GB dan 256GB, dengan harga berikut:

iPhone 12 mini 64GB – RM3,399
iPhone 12 mini 128GB – RM3,899
iPhone 12 mini 256GB – RM4,099

iPhone 12 64GB – RM3,899
iPhone 12 128GB – RM4,099
iPhone 12 256GB – RM4,599

Spesifikasi

Perbezaan antara iPhone 12 dan iPhone 12 mini hanyalah pada saiz skrin dan kapasiti bateri. Selain itu, ia memiliki perkakas yang serupa. Skrin iPhone 12 berukuran 6.1-inci manakala iPhone 12 mini berukuran 5.4-inci.

Kuasa pemprosesnya digerakkan oleh cip A14 Bionic dengan sokongan 5G dwi-sim. Badannya diperbuat dari aluminium dan dilapisi kaca seramik di muka skrin.

Terdapat dua kamera di belakangnya, gabungan kamera utama 12MP F1.6 dan kamera ultra lebar 12MP F2.4. Kamera hadapannya juga 12MP, terletak di takuk besar di atas skrin.

Telefon ini memiliki speaker stereo, kalis air dan debu IP68, serta menyokong pengecasan pantas berwayar sehingga 20W dan wayarles sehingga 15W.