Realme 8 Pro ialah kesinambungan kepada Realme 7 Pro. Sebenarnya kitaran pelancaran siri ini agak pendek, sekitar 6 bulan sahaja.
Realme 7 Pro masuki Malaysia pada penghujung September 2020. Dalam tahun yang sama juga, Realme 6 Pro dilancarkan pada pertengahan Mei 2020.
Untuk tahun 2019, kita ada Realme 5 Pro dan Realme 3 Pro. Mereka masing-masing dilancarkan dalam bulan Oktober dan Mei. Pelancaran pertama yang kami hadiri untuk siri ini ialah Realme 2 Pro iaitu dalam bulan November 2018.
Dalam masa 4 tahun saja, sudah ada sekurang-kurangnya 6 iterasi telefon dalam siri ini. Jadi, anda bolehlah jangkakan Relame 9 Pro diumumkan sebelum 2021 melabuhkan tirainya.
Berbalik semula kepada Realme 8 Pro, set yang saya terima untuk dipandu uji ialah yang ada RAM 8GB dan storan 128GB. Itulah satu-satunya varian yang ditawarkan mereka.
Kalau storan tak cukup besar, telefon ini menyokong kad mikro-SD melalui slot khas. Maka, anda boleh masukkan 2 kad SIM dan 1 mikro-SD sekaligus.
Bersama-sama dengan RAM dan storan tersebut, Realme menyertakan SoC Snapdragon 720G. Cip ini agak berusia, ia sudahpun digunakan pada Realme 7 Pro dan Realme 6 Pro. Ia mungkin disebabkan kitaran pelancaran yang agak singkat untuk mereka dapatkan SoC lebih baik.
Snapdragon 720G, SoC yang agak lapuk
Snapdragon 720G ialah cip kelas pertengahan yang ada 8 teras tapi terbahagi kepada dua kluster, satu untuk berprestasi tinggi, satu lagi kluster jimat tenaga. Cip ini dibangunkan daripada litografi 8nm Samsung.
Antara telefon dari jenama lain yang gunakan cip ini ialah seperti:
- Samsung Galaxy A72
- Samsung Galaxy A52
- Redmi Note 9S
- Vivo V20
- Oppo Reno4 Pro
Gaming dengan telefon ini biasa-biasa saja. Tidak terlalu teruk dan tidak pula baik. Kalau permainan berat macam Genshin Impact, memang anda akan terasa framerate yang rendah.
Tapi untuk permainan kompetetif lain seperti:
- Mobile Legends: Bang Bang
- Arena of Valor
- COD: Mobile
- PUBG Mobile
Anda boleh mainkannya dengan tetapan grafik pertengahan dan menikmati framerate yang munasabah.
Bateri 4,500mAh yang terkandung padanya ialah satu kapasiti yang releven untuk tahun 2021. Ia boleh dicas pantas menggunakan teknologi Dart Charge 50W.
Skrin Super AMOLED yang cantik tapi kehilangan speaker stereo
Anda akan temui Skrin AMOLED pada bahagian muka telefon ini. Ia ada resolusi FHD+ sebesar 6.4”. Ini adalah skrin yang diwarisi daripada Realme 7 Pro. Tapi kami pernah kata yang ia mungkin turun taraf sebab di Realme 6 Pro, ia ada skrin IPS ber-refresh rate 90Hz.
Pada saya, perbezaan lebih ketara boleh dilihat antara 60Hz dengan 90Hz berbanding warna pada IPS LCD dengan Super AMOLED.
Tak boleh disangkal lagi, paparannya memang cantik apabila menonton kandungan multimedia, namun ia kehilangan speaker stereo daripada Realme 7 Pro satu-satunya alasan untuk menghilangkannya ialah bagi mengekalkan kos penghasilannya kerana ia kini dilengkapi kamera 108MP.
Kamera 108MP ini anak emas Realme
Realme 7 Pro pada saya lebih sempurna berbanding Realme 8 Pro sebab spesifikasi teknikalnya amat baik. Tiada cacat cela padanya. Tapi disebabkan kamera 108MP, ia kehilangan speaker stereo.
Apa yang bagus sangat tentang kamera 108MP? Nampak seperti Realme mengejar perlumbaan megapiksel untuk berada dengan pesaing-pesaing premium lain.
Malahan, sebelum pelancaran Relame 8 Pro lagi mereka sudah heboh tentang 108MP melalui satu acara khas, semata-mata untuk cerita tentang kamera 108MP.
- Pertama, kamera 108MP. Itu dah saya ceritakan tadi
- Kedua, fungsi gambar dan video Tilt Shift.
- Ketiga, Starry Mode ni dah ada sejak Realme X3 superzoom lagi tapi katanya pada Realme 8 Pro, ia ditambah baik daripada segi algoritmanya.
- Keempat ialah kesan potret yang baru. Anda boleh pilih filter untuk hanya paparkan warna merah, kuning atau hijau.
Tapi yang saya musykil, kenapa kena berikan kebenaran Phone kalau nak gunakan kamera? Ada beberapa pengeluar lain yang tak memohon kebenaran itupun.
Berikut adalah spesifikasi kamera Realme 8 Pro:
- Kamera utama 108MP
- Kamera ultralebar 8MP
- Kamera makro 2MP
- Kamera B&W 2MP
- Kamera selfie 16MP
Walaupun Realme 8 Pro berkeupayaan merakam video dalam resolusi 4K, namun hanya kamera utama sahaja yang mampu merakamnya. Kalau anda gunakan kamera selain daripada kamera utama, anda terhad kepada 1080P.
Berikut adalah sampel gambar daripada lensa Realme 8 Pro.
Ultralebar 1x 3x 5x 20x
Nightmode (handheld) Nightmode (tripod) Nightmode (tripod)
AI Potret ON Selfie Selfie
Kamera makro Kamera utama Kaemra utama Kamera utama
Realme UI 2.0
Sejurus keluar kotak, telefon ini menjalankan sistem operasi Realme UI V2.0. Ia dibangunkan berasaskan Android 11 Pro.
Berdasarkan penggunaan saya, ia adalah satu antaramuka yang bersih dan kemas. Yang saya perasan ialah ia tidak sarat dengan iklan berbanding beberapa UI pesaingnya.
Misalnya, di UI pesaing, bila anda install APP daripada Play Store, ia akan bawa anda ke halaman sepertinya sedang “mengimbas” APP itu untuk mencari malware. Ynag peliknya, dalam halaman itu sendiri anda dihidangkan dengan iklan.
Saya dapati yang fungsi “imbas” ini lewah sebab Play Store sendiri sudah ada ciri Play Protect.
Realme juga cuba mengetengahkan gedung APP mereka sendiri. APP Market daripada masa ke masa cuba mencadangkan anda memasang APP tertentu tapi tidaklah membanjirkan paparan anda dengan iklan.
Daripada segi customization anda boleh temui macam-macam benda boleh diubah daripada tema, ikon, hinggalah font.
Kesimpulan
Realme 8 Pro ditawarkan pada harga RM1,299. Ia RM200 lebih murah daripada harga pelancaran Realme 7 Pro. Dengan kitaran pelancaran yang agak singkat untuk Realme, tak banyak perubahan boleh mereka lakukan dan pada masa yang sama mengekalkan harga.
Saya lebih rela gunakan kamera 64MP tapi ada speaker stereo berbanding kamera 108MP speaker mono.
Ramai yang mengkritik kemasan belakang telefon ini yang terlalu over khususnya pada penjenamaan yang terlalu ketara. Tapi saya tiada masalah sebab ia mudah disembunyikan dengan sebarang casing tak lutsinar.
Anda boleh pergi ke gedung dalam talian Realme untuk dapatkannnya.