Adakah jogging dibolehkan semasa PKP? SOP MKN ada jawapan yang mengelirukan

KEMASKINI 8/5/2021: Jogging dibenarkan semula di kawasan PKP bermula 8 Mei


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru sahaja dikuatkuasakan di beberapa kawasan di Malaysia. Antaranya di 6 daerah di Selangor, seluruh Wilayah Persekutuan, serta beberapa daerah di Terengganu, Perak dan Johor.

Perniagaan masih dibenarkan beroperasi tetapi hanya boleh dibawa pulang, tidak boleh makan di dalam premis. Selain itu, kerajaan juga mengumumkan sekatan untuk aktiviti sukan dan rekreasi.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengumumkan bahawa semua sukan dan pusat rekreasi diarahkan tutup semasa PKP berjalan. Ia juga terpakai untuk semua aktiviti sukan di luar.

Di dalam SOP AM PKP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), aktiviti berkaitan sukan yang dibenarkan adalah urusan pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti atau premis sukan dan rekreasi, serta program latihan berpusat secara kuarantin menggunakan model gelembung sukan, tanpa kehadiran penonton.

SOP PKP AM. Sumber: MKN

Tetapi untuk SOP PKP di Selangor, adalah dibenarkan pula untuk aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan yang tidak bersentuhan fizikal, dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter yang dijalankan di kawasan terbuka (taman-taman awam) dan tertutup. Bermakna, berjogging dan berbasikal dibolehkan di Selangor.

SOP PKP Selangor. Sumber: MKN

Maklumat yang berbeza antara SOP umum dan Selangor yang mengelirukan ini dikritik oleh ramai orang. Beberapa orang doktor antaranya Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven Chow membantah arahan ini dan mengatakannya tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii meminta kerajaan untuk mempertimbangkan semula larangan ini kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental orang ramai. Agak pelik apabila orang ramai dibenarkan untuk berjalan-jalan di pusat beli-belah atau melawat Bazar Ramadan tetapi tidak dibenarkan pula untuk berjalan di taman terbuka.

[Sumber: SoyaCincau]
[Gambar: MalayMail]