5 Tips sambut Hari Raya dalam norma baru

Bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, masyarakat Malaysia perlu mengamalkan norma baru dalam kehidupan. Antaranya ialah sentiasa memakai topeng muka ketika keluar rumah dan memastikan jarak sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain.

Hari raya juga tidak boleh lagi disambut seperti biasa, dek kerana amalan norma baru ini. Tidak boleh lagi bersalaman, berkumpul terlalu ramai dan aktiviti merentas negeri masih belum lagi dibenarkan.

Oleh itu, ada 5 tips yang boleh digunakan untuk menyambut Hari Raya dengan individu tersayang dalam keadaan norma baru, mengikut SOP sekarang.

1. Hubungi dahulu sebelum berkunjung

Sekiranya kampung anda berada dalam daerah yang sama dan semua orang sihat, anda boleh kunjungi mereka. Tetapi, pastikan rumah tersebut tidak mempunyai had pengunjung lebih daripada yang sudah ditetapkan oleh MKN.

Sebelum mengunjungi rumah sesiapapun, pastikan anda hubungi mereka dulu untuk memberitahu kehadiran anda. Ini bagi memastikan sama ada individu tersebut menerima kunjungan Hari Raya atau tidak. Kerana kita tidak tahu sekiranya individu tersebut mempunyai simptom dan mahu mengelak bertemu orang ketika Hari Raya.

2. Amalkan 3c

Pastikan anda menerapkan tiga langkah untuk menjaga keselamatan diri dalam norma baru seperti yang disarankan oleh Pusat Pengawalan Penyakit (Centre of Disease Control – CDC) iaitu 3c, Clean, Cover dan Contain (Bersih, Tutup dan Kawal).

Bersihkan tangan anda secara kerap dengan mencucinya dengan sabun dan air suam sekurang-kurangnya 20 saat. Dalam tempoh hari raya ini, elakkan budaya berjabat tangan, sebaliknya menunjukkan rasa hormat hanya meletakkan tangan anda di dada.

Tutup mulut dan hidung anda dengan memakai topeng muka semasa aktiviti menziarah. Tutup mulut dan hidung anda dengan tisu semasa anda bersin atau gunakan bahagian dalam siku anda. Buang tisu itu ke tong sampah yang tertutup dan segera basuh tangan anda dengan sabun serta air sekurang-kurangnya 20 saat.

Kawal penyebaran kuman dan virus dengan tinggal di rumah jika anda merasa sakit kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan. Elakkan juga kontak rapat dengan orang yang sakit. Pastikan jarak anda dengan individu yang berisiko lebih tinggi jatuh sakit sekurang-kurangnya 1 meter, contohnya warga emas.

3. Berhubung menggunakan teknologi

Memandangkan Hari Raya akan disambut dalam tempoh PKPD, PKP, PKPB dan PKPP, adalah norma baru bagi kita untuk menggunakan teknologi bagi berhubung dengan individu jauh yang disayangi semasa Hari Raya. Untuk panggilan video, anda boleh menggunakan aplikasi seperti Zoom, WhatsApp, Messenger dan Skype.

4. Duit raya menggunakan e-wallet dan duitnow

Dengan penggunaan e-wallet dan duitnow, anda boleh memberikan duit raya tanpa sentuhan dan ia lebih mudah. Hanya tetapkan sahaja jumlah duit raya yang anda ingin berikan, kemudian berikannya sama ada melalui proses pindahan wang atau hanya mengimbasnya.

5. Hantar hadiah/makanan guna perkhidmatan penghantaran pantas

Ketika Hari Raya nanti, boleh menggunakan perkhidmatan penghantaran pantas seperti grabfood, foodpanda, bungkusit dan lalamove untuk menghantar hadiah atau makanan kepada individu di luar kawasan anda. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan ini sekiranya anda tidak mahu bertemu dengan orang.

Dengan 5 tips ini, raya anda akan kekal selamat dan anda juga dapat elak daripada terkena jangkitan Covid-19.

[Sumber: MegaLive]

[Sumber Gambar: NST]