Posting kandungan Palestin disekat, Facebook minta maaf pada Perdana Menteri Palestin

Ketika ketegangan antara Israel dan Palestin berlaku pada awal bulan ini, ramai individu menyuarakan pendapat mereka mengenainya melalui media sosial. Tetapi, ada dalam kalangan mereka mendapati bahawa perkongsian mereka di beberapa laman sosial seperti Facebook dan Instagram disekat.

Di samping itu, ramai pengguna Arab di Instagram dan Facebook mengadu tidak dapat berkongsi video langsung, mempunyai posting yang tidak bersalah dikeluarkan kerana didakwa ada ucapan kebencian dan kandungan yang mempunyai perkataan Palestin menjangkau lebih sedikit penonton daripada biasa.

Masalah sistem kecerdasan buatan (AI)

Instagram telah membataskan akses pengguna ke siaran dan hashtag berbahasa Arab yang menyebutkan masjid Al-Aqsa.

Tetapi jurucakap Facebook mengatakan bahawa sekatan itu dilakukan oleh sistem kecerdasan buatan (AI), yang keliru bahawa ‘masjid’ itu merujuk kepada kumpulan pengganas yang dilarang.

Di samping itu, pasukan Facebook yang diketuai oleh Naib Presiden bagi Hal Ehwal Global, Nick Clegg memaklumkan pihaknya secara tidak tepat telah melabelkan perkataan tertentu yang kerap digunakan oleh penduduk Palestin termasuk ‘martyr’ (syahid) dan ‘resistance’ (pertempuran) sebagai hasutan melakukan kekerasan.

Eksekutif kanan Facebook meminta maaf kepada Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh dalam satu pertemuan maya berikutan isu menyekat sebarang kandungan pro Palestin. Facebook telah mengakui ada masalah yang wujud dengan algoritma mereka dan mereka telah berjanji untuk mengatasinya.

Facebook berat sebelah

Menurut Marwa Fatafta, pengurus Timur Tengah dan Afrika Utara untuk Access Now, syarikat media sosial sering mahukan kita untuk mempercayai bahawa ini hanyalah kesalahan teknikal.

Aktivis mengatakan bahawa polisi dan algoritma Facebook secara semula jadi tertarik kepada yang lebih kaya, lebih kuat, dan lebih teratur. Aktivis juga mengatakan, perkara ini boleh dilihat pada minat perniagaan dan dasar Facebook.

Facebook & Israel

Lima hari sebelum Facebook bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, delegasi Facebook termasuk Cutler, Clegg dan Kaplan ada berjumpa dengan Menteri Kehakiman Israel, Benny Gantz.

Pada pertemuan itu, Gantz menekan Facebook untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap unsur-unsur ekstremis yang ingin merosakkan Israel. Gantz meminta Facebook untuk membuang kandungan yang menghasut keganasan atau menyebarkan maklumat tidak tepat.

Facebook sudah bekerjasama rapat dengan unit siber kerajaan Israel, yang ditubuhkan pada tahun 2015 untuk melaporkan kandungan secara sistematik ke platform media sosial yang dianggap oleh pihak keselamatan Israel tidak menyenangkan.

Malah, Facebook juga mempunyai pejabat di Israel selain mempunyai pengarah dasar awam untuk Israel dan diaspora Yahudi, Jordana Cutler, yang dulu bekerja sebagai penasihat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

[Sumber: Time, Utusan]