Menteri Komunikasi arah melanjutkan tempoh spektrum dan menambah jalur untuk Altel

Tahun lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato; Saifuddin Abdullah ada mengeluarkan arahan menteri untuk memberi secara terus lesen 5G tanpa sebarang perbincangan. Selepas diketahui dan dibantah orang ramai, beliau menarik balik arahan tersebut.

Kini sekali lagi ditemui apabila The Star melaporkan bahawa Saifuddin telah mengeluarkan 3 arahan menteri, bertarikh 31 Mei 2021. Arahan menteri yang pertama menerangkan mengenai penambahan spektrum 2x5Mhz untuk Altel Communications, bagi jalur 900MHz. Sebelum ini, penerima jalur 900MHz hanyalah Celcom, Digi, Maxis and U Mobile.

Sumber

Manakala arahan menteri kedua, menjelaskan peruntukan spektrum bagi jalur 2,600MHz dikekalkan untuk penerima sedia ada iaitu:

  1. Altel Communications – 2x20MHz
  2. Celcom Axiata – 2x10Mhz
  3. Digi Telecommunications – 2x10MHz
  4. Maxis Broadband – 2x10MHz
  5. Redtone Engineering – 2x10MHz
  6. U Mobile – 2x10MHz
  7. Webe Digital (Telekom Malaysia) – 20MHz
  8. YTL Communications – 20MHz
Sumber

The Star turut melaporkan, semua pihak penerima spektrum menerima lanjutan 5 tahun lagi untuk blok spektrum 2,600Mhz.

Arahan menteri ketiga pula menyatakan bahawa Digital Nasional Berhad (DNB) dilantik sebagai pihak bebas untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara, serta menyediakan perkhidmatan borong 5G.

Langkah ini sekali lagi dilihat sebagai ketidaktelusan kerajaan dalam pemberian spektrum, apabila tidak membuat sebarang pengumuman rasmi mengenainya. Malah, tiada penerangan mengenai berapa pula harga yang perlu dibayar syarikat telekomunikasi untuk jalur ini.

Penyelidik pasaran, RHB Research menyatakan, pasaran akan melihat langkah kerajaan ini sebagai ke belakang kerana tidak terbuka dan memanggil tender. Bagaimanapun, untuk spektrum 5G mungkin kerajaan mengambil jalan tengah dengan memberikannya eksklusif kepada DNB.

Dikhabarkan bahawa spektrum 20Mhz di jalur 900Mhz untuk Altel pada awalnya diberikan untuk kegunaan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura. Tetapi selepas projek ini dibatalkan, ia diberikan terus kepada Altel.

RHB turut berkata mengenai keputusan kerajaan untuk melantik hanya satu pihak untuk pembangunan 5G. Menurut mereka, untuk negara kecil pun mereka memiliki sekurang-kurangnya dua penyedia rangkaian 5G. Ini penting untuk mencipta persaingan pada peringkat perkhidmatan dan sebagai alternatif atau pilihan kedua, sesuatu yang penting dalam dunia digital.

[Sumber: The Star]