Realme C25s, naik taraf daripada Narzo 30A hanya RM1 di Maxis

Realme kini melancarkan satu lagi telefon pintar dalam kelas mampu milik, Realme C25s pada harga RM699 sahaja. Secara kasar, telefon ini adalah model yang sama dengan Realme Narzo 30A, dengan sedikit naik taraf.

Kebanyakan model mampu milik daripada Realme baru-baru ini, hanya diubah sedikit dan diberikan nama baru. Perbezaan antara Realme C25s dan Narzo 30A adalah pada storan dan kamera belakang sahaja, menjadikan Realme C25s RM100 lebih mahal daripada Narzo 30A.

Hanya RM1 di Maxis dan Hotlink

Maxis kini ada menawarkan Realme C25s pada harga RM1 sahaja, dengan kontrak pelan mereka. Ia turut ditawarkan untuk pascabayar Hotlink.

Pengguna pelan Maxis Postpaid 188, 158 dan 128 boleh mendapatkan Realme C25s pada harga RM1 dengan kontrak selama 24 bulan. Ia juga boleh dimiliki menerusi pelan ansuran Zerolution.

Di Hotlink pula, ia boleh dibeli pada harga RM1 jika ditebus dengan subsidi Jaringan Prihatin bernilai RM300, bersama kontrak pelan Hotlink Postpaid 60 selama 12 bulan. Tanpa subsidi, ia berharga RM199 bersama rebat RM100 untuk pelan yang sama dan kontrak 12 bulan.

Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman Maxis Postpaid, Hotlink Postpaid serta Jaringan Prihatin Maxis.

Spesifikasi

Telefon ini dikuasakan cip Mediatek Helio G85, bersama RAM LPDDR4x 4GB dan storan dalaman 128GB. Terdapat tiga slot kad padanya dan ia menerima dua kad sim nano bersama satu kad mikroSD serentak.

Baterinya berkapasiti 6,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Kabel dan pengecas turut diberikan di dalam kotak.

Skrin pula seluas 6.5-inci dengan resolusi HD 720p. Ia juga bertakuk kecil di atas, memuatkan kamera hadapan 8MP. Pengimbas capjari dipasang di belakang badan. Untuk kamera, ia ada 3 di belakang iaitu kamera utama 48MP, kamera mono 2MP dan kamera makro 2MP.

Terdapat dua warna untuk Realme C25s, iaitu biru dan kelabu. Rujuk laman produk Realme C25s untuk maklumat lanjut.