Apple hari ini mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan satu majlis pelancaran bulan ini. Acara pelancarannya telah ditetapkan pada 8 Mac 2022, pukul 10 pagi waktu Pasifik. Ia bersamaan dengan hari Rabu, 9 Mac 2022 pukul 2 pagi waktu Malaysia.
Kepada yang berminat untuk menonton majlis pelancaran ini, boleh menyaksikannya menerusi laman web Apple.com, Apple TV atau saluran YouTube Apple.
Peek performance. March 8th. See you there. #AppleEvent pic.twitter.com/cEKMq7BuBh
— Greg Joswiak (@gregjoz) March 2, 2022
Tarikh pelancaran ini tidaklah mengejutkan ramai pihak kerana ia telah dijangka lebih awal menerusi laporan daripada sumber dalaman. Buat masa ini, Apple masih tidak menyatakan apakah produk yang bakal diperkenal. Mereka hanya berkongsi beberapa gambar dan video pendek, menunjukkan logo Apple berwarna-warni dengan tema “Peek Performance”, atau prestasi diintai.
Bagaimanapun, cakap-cakap tentang produk yang bakal dilancar ini sudah lama kedengaran. Paling kuat dikatakan adalah kedatangan telefon pintar bajet, iPhone SE 3 atau iPhone SE 5G. Namanya sudah pasti belum disahkan, tetapi ia adalah generasi ke-3 dan model pertama dilengkapi modem 5G.
iPhone SE 3 dikatakan akan mengekalkan badan yang serupa dengan iPhone SE 2, iaitu badan yang digunakan oleh iPhone 8. Bermakna, ia tiada takuk yang memuatkan Face ID dan masih mengekalkan pengimbas capjari Touch ID. Tetapi ia akan dikuasakan cip terbaru Apple A15 Bionic dengan sokongan 5G.

Selain telefon, khabar angin lain menyatakan Apple akan melancarkan tablet nipis yang baru, iPad Air generasi ke-5. Rekaannya dikatakan tidak berubah dengan generasi ke-4 tetapi dinaik taraf kuasa pemproses kepada cip A15 Bionic 5G. Menariknya, ia mungkin tarikan utama kerana warna warni logo Apple di gambar pelancaran, mungkin merujuk kepada pilihan warna baru untuk iPad Air ini.
Di samping itu, kuat juga angin bertiup tentang pelancaran cip Apple Silicon yang baru untuk komputer Mac. Sebagai cip generasi ke-2, ia akan dikenali sebagai Apple M1. Sudah pasti ia akan memiliki prestasi dipertingkat, tetapi adakah ia akan jauh lebih hebat atau setara dengan cip Apple M1 Pro dan M1 Max yang dilengkapi pada laptop MacBook Pro terbaru? Ini kena tunggu jika benar ia datang.