Sebelum ini telah heboh diperkatakan bahawa hanya YTL Communications (YTL) dan Telekom Malaysia (TM) telah bersetuju untuk menggunakan akses 5G yang ditawarkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB). Tetapi hingga kini, hanya Yes 5G oleh YTL telah menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna.
Pada Disember 2021, TM adalah syarikat pertama mengumumkan akan memulakan ujian rintis 5G bersama pelanggan Unifi Mobile. Bagaimanapun, selepas 6 bulan, masih tiada sebarang pelan 5G pengguna diperkenalkan.
Pada bulan Januari lepas, laman Unifi Mobile ada menyatakan bahawa pengguna pascabayar Unifi Mobile akan boleh menikmati 5G pada bulan Februari. Tetapi tidak lama selepas itu, tarikh tersebut telah dibuang dan ditukar kepada ‘akan datang’.
Rakan kami di SoyaCincau telah menghubungi pihak TM untuk mendapatkan penjelasan. TM mengatakan bahawa, TM sedang maju ke hadapan dengan pengaturan komersial kami dengan DNB dan menyelaraskan pelancaran dengan pemegang taruh kami dengan liputan 5G yang lebih luas tidak lama lagi. Pada masa ini, kami sedang mengusahakan percubaan komersial dengan DNB. Memastikan pengalaman pelanggan yang cemerlang adalah tumpuan utama kami apabila kami melancarkan perkhidmatan tersebut.”
Jika diperkatakan tentang akses 5G DNB, sering kedengaran tentang empat syarikat telekomunikasi (telco) utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile, yang masih enggan menandatangani perjanjian DNB selaku penyedia borong tunggal 5G. Keempat-empat telco ini telah mengeluarkan kenyataan bersama dan menekankan bahawa kadar semasa Tawaran Akses Rujukan (RAO) oleh DNB tidak menyediakan perkhidmatan 5G yang berkualiti dan mampu milik kepada rakyat. Antara perkara yang membimbangkan adalah harga yang diikat selama 10 tahun dan ketiadaan undang-undang untuk memantau rangkaian borong tunggal.
Rupa-rupanya, TM sendiri juga masih belum menandatangani perjanjian akses komersial 5G bersama DNB. Dalam balasan mereka, TM menjelaskan bahawa, “TM kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan 5G untuk negara dan kami menyokong penuh inisiatif Kerajaan untuk pelancaran itu. Kami mempunyai pendekatan 3 serampang apabila melibatkan pelaksanaan 5G: (1) peranan kami sebagai pemegang saham, (2) peranan sebagai penyedia gentian dan (3) pelancaran penyelesaian 5G nilai tambah kami sendiri untuk pelanggan kami.”
TM menambah, “Buat masa ini, kami sedang menilai dan berusaha untuk memuktamadkan rundingan kami dengan DNB serta memnuhi tarikh akhir yang telah ditetapkan DNB. Sebarang berita terbaru akan dimaklumkan dalam masa terdekat.”
Perjanjian komersial yang telah diumumkan kepada umum antara TM dan DNB adalah perjanjian Perkhidmatan Sewaan Fiber bernilai RM2 bilion. TM masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai pengambilalihan saham di dalam DNB. Selepas kerajaan mengumumkan untuk kekal dengan model borong tunggal 5G, empat telco terbesar menyatakan mereka sedia menerima cadangan pengambilalihan tetapi ia perlu dilakukan menurut proses penggabungan dan pengambilalihan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ada menyatakan bahawa jika bilangan telco menyertai DNB tidak mencukupi, lesen baru akan dibuka untuk pihak lain. Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul juga semasa temuramah bersama Straits Times Singapura memberitahu bahawa tarikh akhir untuk telco menandatangani dan mengambilalih saham DNB kekal pada 30 Jun, tetapi ia boleh dilanjutkan tidak lebih daripada awal Julai jika perlu. Zafrul menambah, kepentingan negara harus mendahului kepentingan kecil komersial oleh telco dalam usaha membangunkan 5G.
[Sumber: SoyaCincau]