Syarikat peranti mudah alih kembali membanjiri pameran terkemuka, Mobile World Congress (MWC) 2023 di Barcelona, Sepanyol untuk memperagakan produk terbaru mereka. Salah satu pembuka tirai MWC 2023 adalah Xiaomi yang melancarkan telefon pintar flagship mereka, Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro.
Pengumuman ini bukanlah berita baru kerana ia telah dilancarkan di China pada bulan Disember lepas. Selepas 3 bulan, ia kini dilancarkan di pasaran antarabangsa dan berita baiknya, ia juga akan tiba ke Malaysia tidak lama lagi. Hampir serupa dengan siri Xiaomi 12 tahun lepas, perbezaan ketara antara dua varian ini adalah Xiaomi 13 memiliki skrin lebih kecil dan rata, manakala Xiaomi 13 Pro datang dengan skrin lebih besar yang melengkung di sisi.
Perkara baru yang tidak ada di China dalam pengumuman ini, adalah tawaran percuma Google One Premium 2TB selama 6-bulan. Pelan ini berharga RM42.99/bulan, bermakna Xiaomi memberikannya percuma selama 6-bulan bernilai RM257.94. Selain ruang simpanan awan sebanyak 2TB, pelan Premium ini juga datang dengan perkhidmatan VPN.
Spesifikasi Xiaomi 13
Pembaharuan utama di siri Xiaomi 13 adalah penggunaan cip terbaru Qualcomm, iaitu Snapdragon 8 Gen 2. Ia dipadankan bersama RAM baru LPDDR5X dan storan UFS 4.0 yang lebih pantas.
Sekali pandang, mungkin ada yang tersilap mengatakan Xiaomi 13 adalah iPhone 14 kerana badannya memiliki sisi rata yang kelihatan tajam. Ia meletakkan skrin rata jenis OLED berukuran 6.36-inci di hadapan, dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Lebih baik lagi, kadar kecerahan skrin ini mencecah 1,900nits.
Jika diperhati dengan lebih teliti, bingkai di kiri, kanan, atas dan bawah adalah sama nipis. Menjadikannya ia lebih sedap dipandang. Bingkai ini diperbuat daripada aluminium dengan kemasan licin seakan cermin.
Satu lagi pembaharuan terbesar di siri ini adalah kerjasama Xiaomi dan Leica dalam pengimejan. Kamera di Xiaomi 13 dilengkapi lensa Leica Vario-Sumicron 1:1.-2.2/15-75 ASPH. Mungkin sukar difahami pengguna biasa tetapi mudah dibaca penggemar fotografi.
Kamera dengan label Leica di belakang Xiaomi 13 adalah gabungan kamera utama 50MP F1.8 23mm dengan sensor Sony IMX800 HyperOIS, kamera telefoto 10MP F2.0 75mm dan kamera ultralebar 12MP F2.2 15mm. Kamera di hadapan pula adalah 32MP F2.0, terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Tenaga disalurkan daripada bateri 4,500mAh di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas 67W berwayar serta 50W wayarles. Pengecas 67W diberikan di dalam kotak dan boleh mengecas dari 0-100% dalam masa 38 minit sahaja.
Tetapi perkara baharu yang lebih menarik adalah ia kalis air dan debu IP68. Selain itu, ia memiliki dua pembesar suara stereo serta menyokong WiFi 7, NFC dan Bluetooth 5.3.
Xiaomi 13 datang dalam tiga pilihan warna iaitu putih, hitam dan hijau. Ia dikuasakan sistem operasi MIUI 14 berasaskan Android 13.
Spesifikasi Xiaomi 13 Pro
Untuk prestasi, Xiaomi 13 Pro datang dengan kuasa yang serupa iaitu cip Snapdragon 8 Gen 2, RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0. Sokongan kuasa mengecasnya lebih tinggi iaitu 120W berwayar dan 50W tanpa wayar. Ia mampu mengecas bateri 4,820mAh di dalam Xiaomi 13 Pro dalam masa 19 minit sahaja.
Perkara berbeza adalah pada skrin. Ia adalah jenis AMOLED 120Hz seluas 6.73-inci yang melengkung di sisi, dengan resolusi tinggi WQHD dan kadar kecerahan setinggi 1,900nits.
Tetapi tarikan utama Xiaomi 13 Pro adalah pada kameranya, kini dengan sensor berukuran 1-inci, terbesar ada di telefon pintar. Kamera tersebut adalah kamera utama 50MP F1.9 23mm HyperOIS, menggunakan sensor Sony IMX989 bersaiz 1-inci. Gandingannya adalah kamera telefoto 50MP F2.0 75mm dan kamera ultralebar 50MP F2.2 14mm. Dengan kerjasama Leica, pengguna ditawarkan pelbagai penapis dan efek khas Leica semasa mengambil gambar. Kamera hadapannya di dalam lubang kecil di dahi skrin adalah sensor 32MP F2.0.
Xiaomi 13 Pro juga kalis air dan debu IP68, dilengkapi dua pembesar suara stereo dan menyokong WiFi 7, Bluetooth 5.3 serta NFC.
Pilihan warna pula hanya dua iaitu putih dan hitam. Sistem operasi pula MIUI 14, berasaskan Android 13.
Nantikan pengumuman siri Xiaomi 13 di Malaysia pada hari Isnin, 27 Februari jam 2 petang. Pastinya kita akan mengetahui tarikh pelancaran, harga rasmi dan promosi jualan awal kelak.