Setelah Oppo melancarkan Find N2 Flip di peringkat antarabangsa pada 15 Februari lalu, hari ini Oppo secara rasmi melancarkan telefon lipat itu di Malaysia pula. Pelancaran ini menjawab segala persoalan berkaitan harga rasmi, tarikh jualan dan promosi tempahan awal.
Dapat dillihat Find N2 Flip bersaing dengan Galaxy Z Flip 4, jadi Oppo bekerjasama dengan Hasselblad untuk pengimejan telefon ini serta melengkapkan SoC Mediatek Dimensity 9000+. Find N2 Flip akan boleh didapati oleh peminat tempatan tidak lama lagi.
Harga dan promosi tempahan awal
Oppo Find N2 Flip boleh didapati dalam satu varian iaitu storan 256GB dan RAM 8GB. Harga rasminya adalah seperti berikut:
- Oppo Find N2 Flip (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM3,999
Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Moonlit Purple dan Astral Black. Anda boleh mula tempah bermula 2 Mac hingga 10 Mac 2023 di gedung dalam talian rasmi Oppo, Lazada dan Shopee atau pengedar sah Oppo.
Lebih menarik, terdapat promosi tempahan awal yang memberikan hadiah bernilai sehingga RM637 iaitu casing PU mudah alih, fon putik Oppo Enco Air3 dan waranti lanjutan satu tahun. Ada juga pembelian dengan pembelian Oppo Care jaminan perlindungan skrin satu tahun pada harga 50% lagi murah dari harga asal.
Ada juga promosi tempahan awal sempena Hari Wanita Antarabangsa. Setiap pembelian akan didatangkan hadiah misteri, tapi terhad untuk 100 unit sahaja.
Spesifikasi Oppo Find N2 Flip
Oppo Find N2 Flip adalah pesaing rapat kepada Samsung Galaxy Z Flip4. Mereka adalah telefon dalam kategori lipatan kerang. Apabila dalam keadaan terbuka, telefon ini ada panel paparan sebesar 6.8” beresolusi 2520 x 1080 daripada jenis panel AMOLED LTPO2 yang menyokong kadar segar semula dinamik sehingga 120Hz. Dalam keadaan tertutup, pengguna boleh pula memanfaatkan skrin sekundar 3.2” yang padanya ada resolusi 720 x 382.
Boleh didapati dalam pasaran China buat masa ini, Oppo Find N2 Flip diperkasa SoC Mediatek Dimensity 9000+ dengan kapasiti RAM LPDDR5 sehingga 16GB beserta storan 512GB UFS3.1.
Di jabatan pengimejan, sentuhan Hasselblad masih kelihatan pada sistem kamera Oppo Find N2 Flip. Sistem dwikamera belakang digunakan sebagai kamera utama dengan kamera pertama dibekalkan sensor 50MP F1.8 dengan kamera kedua sebagai penembak ultralebar dengan sensor 8MP F2.2.
Hanya satu kamera selfie disediakan pada telefon ini iaitu yang berada di sebelah dalam dengan sensor 32MP. Tak perlu risau ketiadaan kamera selfie luar kerana kamera utamanya terletak di sisi skrin sekundernya.
Memenuhi segala keperluan tenaga telefon ini adalah sistem bateri berkapasiti 4,700mAh dengan sistem pengecasan pantas 44W. Seperti saudara lebih besarnya, telefon ini menjalankan ColorOS 13 berasaskan Android 13 apabila keluar kotak.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Oppo Find N2 Flip, anda boleh layari laman rasmi Oppo di sini.