Rekaan fon putik Sony WF-1000XM5 terdedah sepenuhnya melalui gambar-gambar yang dibocorkan sewaktu pengeluarnya ingin memohon pensijilan produk dengan pihak berkuasa. Antara perkara yang boleh kita cerap adalah seperti rekaan unit audionya lebih kompak berbanding WF-1000XM4. Boleh juga anda perasan yang permukaan yang menghala ke luar kini tidak lagi rata seperti sebelumnya.
Dalam WF-1000XM4, permukaan itu peka sentuhan dan input boleh diberikan kepada fon putik untuk melakukan tugasan-tugasan tertentu. Fon putik juga kelihatan menggunakan kemasan berkilat berbanding matte pada model terdahulu. Namun, ia mungkin juga disebabkan produk ini masih belum dimuktamadkan rekaannya dan bila ia dilancarkan secara rasmi, kemasan matte akan digunakan.
Secara peribadi, saya sukakan kemasan Matte kerana nampak lebih premium dan tahan comot.
Gambar papan litar fon putik ini juga turut dikongsikan dan ia ditandakan mengikut nombor-nombor seperti berikut:
- Titik sentuh untuk antena dan sensor peka sentuhan
- Mikrofon MEMS sama ada untuk suara ataupun penyaring hingar (ANC)
- Titik sentuh untuk pemacu audio
- Titik sentuh untuk pemacu audio ke-2.
- Sensor jarak
- Mikrofon MEMS sama ada untuk suara ataupun penyaring hingar.
Beralih kepada bekas penyimpan, ciri-ciri berguna daripada generasi sebelumnya masih dikekalkan seperti pengecasan wayarles. Yang bagusnya, kuasa mengecas dipertingkat daripada 5V/140mAh kepada 5V/230mAh yang mencadangkan pengecasan akan berlaku lebih pantas.
Kemas kini terhadap fon putik flagship Sony memang sangat dialu-alukan. Buat pengetahuan anda, Sony WF-1000XM4 dilancarkan awal Jun 2021 yang lalu dan kini usianya sudahpun memasuki tahun ketiga. Makanya, anda boleh jangkakan XM5 yang akan tiba ini dilancarkan sekitar Jun 2023 nanti.
Sony WF-1000XM4, fon telinga ANC lebih kecil dengan hayat bateri lebih lama
Fon putik generasi baharu nanti haruslah lebih baik berbanding sedia ada. Produk yang boleh anda dapatkan dalam pasaran sekarang diperkasa cip V1 yang berikan pengalaman penyaring hingar antara yang terbaik dalam industri. Pemacu audionya juga ditambah baik pada segi penghasilan bunyi berfrekuensi rendah dengan cara mempertingkat kapasiti magnet sebanayk 20% pada pecau bersaiz 6mm.
Tempahan awal Sony WF-1000XM4 dibuka dengan hadiah percuma bernilai RM399
Hayat bateri juga salah satu perkara penting. Fon putik 1000XM4 berkhidmad selama 8 jam dengan ANC terpasang ataupun 12 jam tanpa ANC terpasang. Sony WF-1000XM4 dijual pada harga RM1,099 tapi penjual-penjual di luar sana menjual pada harga jauh lebih rendah, rata-ratanya bawah RM700.
Sumber: TheWalkmanBlog
Sony WF-1000XM4 ada firmware baharu, akhirnya sokong Bluetooth Multipoint