Tempahan awal Sony WF-1000XM4 dibuka dengan hadiah percuma bernilai RM399

Peminat produk audio Sony di Malaysia tidak perlu menunggu lama kerana Sony Malaysia hari ini mengumumkan telah membuka tempahan awal untuk fon telinga TWS terbaru mereka, Sony WF-1000XM4. Fon telinga ini baru sahaja dilancarkan awal pagi ini dan kini sedia untuk pasaran Malaysia.

Bagaimanapun, ia akan mula dijual di Malaysia pada pertengahan bulan Julai. Harga rasmi untuk Sony WF-1000XM4 telah ditetapkan pada RM1,099, sedikit mahal berbanding WF-1000XM3 ketika dilancarkan iaitu RM949.

Tempahan awal untuk Sony WF-1000XM4 dibuka mulai hari ini, 9 Jun sehingga 15 Julai 2021. Ia boleh ditempah di Sony Store di The Curve dan KLCC, Stor Online Sony Malaysia, Lazada, Shopee, serta pengedar sah Sony di seluruh Malaysia. Penghantaran akan dibuat mulai 20 Julai 2021.

Sony WF-1000XM4 terdapat dalam dua warna, perak dan hitam. Tempahan awal dalam tempoh promosi akan menerima hadiah percuma bernilai RM399 iaitu pad pengecas wayarles Qi. Ia juga menyokong pengecasan wayarles, fungsi yang tiada pada WF-1000XM3.

Fon telinga Sony WF-1000XM4 kini tampil lebih kecil, 10% kecil pada fon telinga dan 40% kecil pada bekas pengecas. Selain pengecasan pantas USB-C, bekas pengecas ini juga boleh mengecas secara wayarles.

Kualiti penyaring hingar aktif (ANC) di WF-1000XM4 dipertingkat dengan pengguna cip V1 baharu, serta bahan poliuretana unik yang lembut dan elastik untuk menutup bunyi secara semulajadi. Sistem bunyi dinaiktaraf dengan pemacu bunyi 6mm baharu dan bunyi magnet 20% lebih lantang.

WF-1000XM4 juga menyokong audio wayarles resolusi tinggi menerusi teknologi LDAC yang dihasilkan Sony. Fungsi Speak-to-Chat yang pertama kali diperkenal di fon kepala WH-1000XM4, turut terbina di dalamnya.

Hayat bateri juga lebih panjang di WF-1000XM3. Dengan ANC aktif, ia boleh digunakan sehingga 8 jam di fon telinga sahaja, serta tambhaan 16 jam bersama bekas pengecas. Mengecas selama 5 minit pula, memberikan tenaga untuk kegunaan sehingga 60 minit.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kecanggihan WF-1000XM4, rujuk artikel kami mengenai pelancarannya di sini. Layari juga laman produk Sony WF-1000XM4 untuk rujukan tambahan.