Selepas berbual dengan Elon Musk selaku pemilik Tesla, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan tempahan 40 unit internet satelit daripada Starlink, juga dimiliki oleh Elon Musk. Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil kemudian memaklumkan, 10 unit Starlink akan dipasang di UiTM.
Kini, unit pertama Starlink telah dipasang di UiTM Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Menurut Fahmi, Starlink digunakan sebagai ‘pembuktian konsep’ bagi membantu para pelajar mendapatkan internet yang lebih baik, sementara menunggu peruntukan lebih besar bagi pemasangan ‘access point’ bagi WiFi kampus.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), mendapati terdapat titik buta di sekitar kampus UiTM Kuala Pilah, walaupun terdapat liputan internet di luar bangunan, dalam bangunan serta WiFi. UiTM Kuala Pilah merupasakan salah satu antara 10 kampus UiTM dengan masalah internet yang serius.
Starlink hanya sementara, talian mudah alih dan WiFi perlu dipertingkat
Ringkasnya, Starlink digunakan sebagai penyelesaian sementara untuk memberi sambungan internet kepada pelajar di kampus, walaupun ia sebenarnya telah memiliki liputan talian mudah alih 4G/5G dan WiFi menerusi jalur lebar tetap.
Untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan harus memastikan syarikat telekomunikasi (telco) menyediakan liputan menyeluruh, terutama di kampus institusi pengajian tinggi (IPT) seperti UiTM kerana ia memiliki pelajar yang ramai, di samping keperluan internet untuk pengajian dan pembelajaran.
Pihak IPT pula harus menyediakan akses WiFi yang mencukupi dikawasan tumpuan pelajar seperti bangunan pendidikan, perpustakaan, tempat makan dan sebagainya. Tetapi kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan mencukupi, di samping memantau pelaksanannya supaya ia mencapai sasaran yang ditetapkan.
[Sumber: Fahmi Fadzil]
Bacaan Berkaitan
- Anwar Ibrahim sembang dengan Elon Musk, ini intipati yang perlu anda tahu
- UiTM akan terima 10 unit Starlink, kampus yang dinyatakan sudahpun ada Unifi
- SKMM beri lampu hijau untuk Starlink beroperasi di Malaysia, apa syaratnya?
- Starlink terima pengecualian khas kerajaan untuk masuki Malaysia, kenapa?
- Starlink boleh dilanggan sekarang di Malaysia, RM220 sebulan dengan kelajuan sehingga 100Mbps