Walaupun sudah 10 bulan dilancarkan di peringkat antarabangsa, Realme Malaysia sedang berusaha keras untuk membawakan telefon pintar berkuasa tinggi, Realme GT3 240W ke Malaysia tidak lama lagi. Majlis pelancarannya akan diadakan pada hari Rabu, 20 Disember 2023 tetapi kini Realme Malaysia telah mendedahkan satu perkara yang sangat penting iaitu harganya.
Dalam kenyataan media yang kami terima, Realme Malaysia menyatakan bahawa Realme GT3 240W mungkin menjadi telefon pintar pertama dengan storan 1TB di bawah RM3,000. Perkara ini sememangnya mengejutkan kerana storan 1TB bukan sahaja sangat sukar ditemui di dalam telefon pintar di Malaysia, malah harganya juga terlampau mahal.
Antara telefon pintar dengan storan 1TB yang ada dijual di Malaysia adalah:
- Xiaomi 13T Pro (RAM 16GB + Storan 1TB) – RM3,499
- Samsung Galaxy S23 Ultra 1TB – RM7,199
- Samsung Galaxy Z Fold 5 (RAM 12GB + Storan 1TB) – RM8,299
- iPhone 15 Pro 1TB – RM7,999
- iPhone 15 Pro Max 1TB – RM8,499
Dengan cip flagship Snapdragon 8+ Gen 1 yang sudah berusia tetapi masih perkasa, ditambah dengan pengecasan super pantas 240W, mengecas dari 0-100% dalam masa 10 minit, pemberitahuan harga dan storan ini menjadikan tawaran Realme GT3 240W semakin menarik. Apatah lagi, Realme Malaysia kini membuka tempahan awal Realme GT3 240W di Kedai Jenama Realme dan menawarkan hadiah bernilai RM799 jika membayar deposit RM30, atau hadiah bernilai RM928 jika meletak deposit RM50.
Spesifikasi Realme GT 3
Siri GT adalah peranti kelas flagship Realme. Bagi Realme GT 3, ia dikuasakan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dua tahun lepas, bersama RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 3.1 sehingga 1TB. Agak serupa dengan kuasa yang terdapat di Nothing Phone (2).
Skrinnya juga agak hebat. Ianya jenis AMOLED seluas 6.74-inci, dengan resolusi 1.5K (2772×1240) serta kadar penyegaran 144Hz. Skrin ini memiliki kadar kecerahan puncak mencecah 1,400 nits dan juga kadar PWM setinggi 2,160Hz. Pengimbas capjari ada di dalam skrin dan ia turut mampu mengesan denyutan nadi.
Bagi menangkap gambar, terdapat tiga kamera belakang iaitu kamera utama 50MP F1.88 menggunakan sensor Sony IMX890 OIS, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera mikroskop 2MP F3.3. Di hadapan pula, ia dilengkapi kamera 16MP F2.45 yang terletak di dalam lubang kecil di dahi skrin.
Jika mahu bercerita tentang kelebihan atau keunikan, Realme GT 3 memiliki lampu ‘Halo Ring’ lutsinar yang terletak di tepi kamera belakang. Ia boleh diubahsuai kepada 25 warna RGB untuk menjadi notifikasi pelbagai aplikasi dan maklumat.
Tetapi tarikan utamanya sudah pasti adalah kuasa pengecas 240W. Telefon ini yang memiliki bateri 4,600mAh, ia boleh mengecas dari 0-20% dalam 80 saat, mencecah 50% dalam 4 minit dan mencapai 100% hanya 9.5 minit. Bermakna, boleh cas 0-100% tak sampai 10 minit pun. Realme menerangkan, kuasa mengecas 240W ini dicapai melalui penggunaan 3 cip pengecasan pantas, bersama dwi-pengecas GaN berkuasa tinggi dan kabel data 12A.
Lain-lain perkara yang turut ada di Realme GT3 adalah sokongan pembesar suara stereo Dolby Atmos, pemancar infra merah dan radio NFC 360-darjah. Masih tiada sokongan kalis air atau pengecasan wayarles. Sistem operasi pula menggunakan antaramuka Realme UI 4.0 berasaskan Android 13.