Maxis sebelum ini ada menawarkan pelan jalur lebar wayarles 5G di rumah. Kini pelan 5 Home WiFi ini telah dikemaskini yang menyediakan pilihan seperti tiada sekatan kelajuan, tanpa had kuota, atau kedua-duanya sekali.
Pelan baharu Maxis 5G Home WiFi
Maxis menawarkan tiga pelan untuk 5G Home WiFi. Pelan termurah iaitu 5G Home WiFi 69 berharga RM69/bulan dan ia datang bersama kuota 5G sebanyak 120GB, dengan kelajuan penuh tanpa sekatan. Pelan ini juga tiada kontrak kerana ia tidak ditawarkan bersama router 5G.
Jika perlu lebih banyak data, ada pelan 5G Home WiFi 99 berharga RM99/bulan. Ia memberikan data tanpa had, tetapi kelajuan disekat ke 100Mbps sahaja. Pelan ini juga hadir dengan router 5G berharga RM1,888 percuma, jika mendaftar kontrak 24-bulan.
Kalau mahu kuota tanpa had dan kelajuan tanpa sekatan, Maxis menawarkan pelan 5G Home WiFi 139 berharga RM139/bulan. Pelan ini juga datang dengan router 5G percuma bagi yang mengikat kontrak 24-bulan.
Peranti dan perkakas tambahan
Khas untuk pelanggan pelan 5G Home WiFi 139, Maxis ada menyediakan peralatan di rumah untuk ditambah ke dalam pelan menerusi kontrak ansuran Zerolution. Antara produk yang disediakan adalah produk Dyson, TV pintar, iPad dan banyak lagi.
Untuk pelanggan pascabayar Maxis sedia ada dan menambah langganan pelan 5G Home WiFi 139, mereka akan mendapat data mudah alih tanpa had untuk semua talian sendiri dan talian keluarga. Ia sebenarnya sama dengan tawaran sedia ada yang menggabungkan Maxis Postpaid + Maxis Fibre Broadband.
Kuota 4G dan FUP
Tawaran Maxis untuk pelan ini memang sangat menarik. Tetapi ada perkara yang pelanggan perlu tahu. Antaranya terdapat kuota 4G yang sangat sedikit iaitu 30GB. Ia sebagai data sandaran jika ada gangguan rangkaian 5G.
Selain itu, seperti pelan tanpa had yang lain, terdapat Polisi Penggunaan Saksama (FUP) untuk pelan Maxis ini. Menurut Maxis, pengguna data keterlaluan atau disalahgunakan boleh dikenakan FUP supaya ia tidak menjejaskan pengalaman pengguna lain. Antaranya, Maxis mungkin akan menyekat kelajuan strim video serta melayari internet jika penggunaan melebihi 1000GB atau 1TB.
Memandangkan FUP ini dikenakan sama untuk semua pelan, mungkin lebih baik untuk melanggan pelan 5G Home WiFi 99 dengan kelajuan 100Mbps sahaja berbanding 5G Home WiFi 139, kerana ia masih ada kuota tanpa had tetapi ada sekatan kelajuan.
Tetapi jika masih perlukan lebih kupota data, Maxis menawarkan pas 10GB 4G/5G pada harga RM15 dan sah selama 30 hari. Ini dilihat agak mahal kerana harganya RM1.50 setiap 1GB, berbanding tawaran U Mobile iaitu tambahan 1TB pada harga RM30 sahaja di pelan U Home 5G.
Router 5G percuma dengan kontrak 24-bulan
Dari gambar yang dikongsikan, Maxis akan memberi router 5G ZTE MC801A yang menyokong WiFi 6 dan mampu berhubung sehingga 30 peranti. Ia juga dinyatakan mampu memberi kelajuan 5G sehingga 300Mbps.
Router 5G merupakan pilihan jalur lebar lebih mudah kerana tidak perlu pemasangan yang susah. Hanya letak di tempat terbaik seperti tepi jendela, dan hidupkan router sahaja.
Dalam FAQ, pelanggan mungkin perlu membayar wang pendahuluan untuk 1 bulan langganan semasa mendaftar. Pelan ini juga boleh dilanggan untuk bukang warganegara Malaysia.
Untuk mengenali pelan baru Maxis ini lebih lanjut, layari laman web Maxis 5G Home WiFi.
Pelan Yes dan U Mobile lebih baik dan bernilai?
Buat masa ini, pelan Yes 5G Wireless Broadband masih pelan paling berbaloi kerana memberikan kuota 5G tanpa had serta tiada sekatan kelajuan, dan murah hanya RM58/bulan, atau RM99/bulan dengan router 5G percuma. Baru-baru ini, Yes memberikan model router baru Infinite Gateway Pro (bernilai RM1,199) yang menyokong kelajuan sehingga 1.2Gbps dan menyambung ke 128-peranti.
Selain itu, pelan U Mobile U Home 5G Broadband berharga RM68/bulan juga tanpa had kuota tetapi ada had FUP 1TB. U Mobile dijangka akan melancarkan router 5G baru tidak lama lagi.