Bulan puasa bukan bermakna kerja harus diperlahankan. Buktinya, pengeluar telefon pintar berlumba-lumba melancarkan model baru mereka di bulan Ramadan. Oppo Malaysia turut mengikut jejak ini dengan melancarkan Oppo Reno 11F 5G, telefon pintar kelas pertengahan.
Oppo menonjolkan kelebihan Reno 11F antaranya kamera ultra-jelas 64MP, paparan AMOLED tanpa sempadan 120Hz serta rekaan bertenaga dan sangat menarik perhatian. Ia membawakan rekaan ibarat ombak di laut dengan penuh gemerlapan.
Harga dan Promosi Oppo Reno 11F
Telefon pintar Oppo Reno 11F akan mula dijual di Malaysia pada 23 Mac 2024. Hanya satu varian akan dijual di Malaysia, dengan harga rasmi berikut:
- Oppo Reno 11F (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,399
Tetapi Oppo Malaysia telah membuka tempahan awal dan menyediakan hadiah menarik. Tempahan awal Oppo Reno 11F dibuka dari sekarang sehingga 22 Mac 2024, dan boleh didapati di Stor Online Oppo, Shopee dan Lazada. Ia juga terdapat di kedai fizikal My Oppo Space, Kedai Jenama Oppo serta pengedar sah Oppo.
Pembeli dalam tempoh promosi ini akan menerima hadiah percuma berupa kotak hadiah bernilai RM169. Tetapi ia tidak setakat ini, kerana Oppo turut memberikan hadiah yang serupa, kepada pembeli antara 23 Mac sehingga 11 April 2024. Pastinya ini sebagai promosi untuk Hari Raya.
Spesifikasi Oppo Reno 11F
Oppo Reno 11F sebenarnya adalah ahli ketiga dalam keluarga Reno 11. Dua abangnya, Reno 11 dan Reno 11 Pro telah dilancar lebih awal pada bulan Januari lepas, dengan harga lebih mahal. Ini menunjukkan, Reno 11F memiliki prestasi lebih rendah berbanding Reno 11 dan Reno 11 Pro.
Kuasa utama Reno 11F digerakkan oleh cip Mediatek Dimensity 7050 6nm, serupa dengan Reno 11. Ia digandingkan dengan RAM LPDDR4x 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 256GB. Kad mikroSD juga diterima, sehingga 2TB.
Skrinnya rata jenis AMOLED, seluas 6.7-inci HD Penuh dan kadar penyegaran 120Hz. Kecerahan skrin setinggi 500 nits dengan kecerahan puncak boleh mencapai 1,110nits. Pengimbas capjari ada di dalam skrin dan kaca Panda digunakan sebagai lapisan luar pelindung skrin.
Lubang kecil di dahi skrin memuatkan kamera hadapan 32MP F2.0. Di belakang, ia gabungan tiga kamera iaitu kamera utama 64MP F1.7 tanpa OIS, kamera ultralebar 8MP F2.2 dan kamera makro 2MP F2.4.
Tenaga disalurkan daripada bateri berkapasiti 5,000mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 67W, mampu mengecas dari 0 ke 100% dalam masa 48 minit. Pengecas ada diberikan di dalam kotak. Oppo juga menyatakan bateri ini boleh bertahan sama seperti baru sehingga 4 tahun.
Speaker di Reno 11F hanya mono dan ia tiada jek audio. Telefon ini juga diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65. Selain itu, ia turut dilengkapi NFC, WiFi 6, dan Bluetooth v5.2.
Sistem operasi ColorOS 14, berasaskan Android 14 dipasang di dalam Reno 11F. Pilihan warna untuk Reno 11F ada tiga. Pertama warna biru dengan rekaan riak air, kedua warna hijau hutan dan ketiga adalah warna eksklusif, warna ungu batu karang. Warna ungu hanya dijual di Stor Online Oppo Malaysia.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai telefon ini, layari laman produk Oppo Reno 11F.