Tahukah anda yang Spotify bukanlah satu-satunya platform penstriman di luar sana yang tawarkan pengalaman penstriman yang baik? Ada lagi alternatif lain yang tawarkan kualiti audio lebih baik, ada juga yang tawarkan sokongan peranti meluas, malahan disekalikan dengan penstriman video tanpa iklan.
Dalam artikel ini, kita selongkar tiga alternatif kepada Spotify yang boleh anda pertimbangkan yang bawakan ciri-ciri unik dan mungkin yang ngam dengan cita rasa anda.
Apple Music
Platform penstriman music daripada Apple ini dilancarkan dalam tahun 2013 dan masuki Malaysia tak lama kemudian. Ciri menarik yang ditawarkan Apple Music adalah penstriman Spatial Audio dengan Dolby Atmos dan juga audio berformat lossless.
Spatial Audio dengan Dolby Atmos diperkenalkan sewaktu WWDC 2020 dan ia menjajikan pengalaman audio yang katanya lebih baik kerana ia berikan kesan audio seperti berada dalam ruangan tiga dimensi.
Pelanggan Apple Music boleh melayani lagu terpilih dalam format Spatial Audio dengan Dolbyu Atmos di peranti seperti:
- iPhone & iPad
- Mac
- Apple Vision Pro
- HomePod
- Apple TV
- Peranti Android yang menyokongnya
Pada segi lossless, mereka menggunakan teknologi propreitari yang dikenali sebagai Apple Lossless Audio Codec (ALAC) yang merangkumi semua muzik yang ada dalam katalog Apple Music. Apabila ALAC diaktifkan, penstiman berlaku dalam julat 16-bit/44.1kHz (kualiti CD) hinggalah ke 24-bit/192kHz, bergantung kepada sambungan Internet anda.
Satu lagi yang menarik dengan Apple Music adalah ia ada ciri karaoke. Dengan satu butang, ia akan minimumkan vokal penyanyi untuk beri laluan kepada anda untuk menyelit.
Harga langganan Apple Music di Malaysia
Apple Music boleh didengari di hampir semua produk Apple dan juga ditawarkan di platform pihak ketiga seperti:
- Android
- Windows
- PlayStation
- Roku
- Samsung
- LG Smart TV
- Alexa
- Google Nest
Satu perkara tak menarik tentang Apple Music adalah ia tiada pelan percuma dengan iklan tak seperti Spotify. Kalau anda nak cuba, perlulah langgan pelan termurah iaitu Individual terlebih dahulu.
Apple Music ditawarkan menerusi tiga pelan iaitu Student, Individual, dan Family. Pelan pelajar ditawarkan pada harga RM8.90/bulan sementara individu pada harga RM16.90. Pelan keluarga yang boleh dikongsi dalam kumpula berenam boleh didapatkan pada harga RM25.90.
YouTube Music
Penstiman YouTube Music agak popular kerana ia dikombokan sekali dengan YouTube Premium. Jadi anda dapat produk 2-dalam-1 iaitu tonton video bebas iklan disamping jutaan lagu yang boleh distrimkan kepada TV Android ataupun TV pintar yang ada aplikasi YouTube.
Namun begitu, YouTube Music tiada perisian komputer sama ada PC ataupun Mac, pengguna terpaksa mendengarnya melalui pelayan web.
Satu lagi, golongan audiofilia mungkin tidak menyukai YouTube Music kerana spesifikasi audio yang distrimkannya agak terhad. Kualiti paling tinggi YouTube muzik berada di 256kbps iaitu masih di tahap MP3 walaupun mereka gunakan codec AAC dan OPUS.
Kelebihan YouTube Music adalah katalog muziknya yang pelbagai. Secara asasnya, apa yang anda jumpa di YouTube, boleh juga dilayani di YouTube Music. Ia termasuklah lagu cover, rakaman concert, ataupun artis indie.
Harga langgan YouTube Music di Malaysia
Harga langganan YouTube Music terbahagi kepada tiga, bermula dengan Student, Individual, dan Family. Pelan paling murah ialah pelajar namun perlu pengesahan sebelum seseorang layak untuk melanggannya pada harga RM6.90. Pelan seterusnya adalah individu pada harga RM14.90/bulan diikuti keluarga RM22.90/bulan yang boleh dikongsi dalam kalangan 5 ahli keluarga yang lain.
Satu perkara menarik tentang YouTube Music adalah, anda boleh kombo sekali dengan YouTube Premium pada harga serendah RM10.90/bulan untuk pelajar, RM17.90/bulan untuk individu, dan RM33.90/bulan untuk keluarga.
YouTube Premium adalah langganan yang sangat disarankan sekiranya anda melayani kandungan YouTube di TV pintar. Jika tidak, telalu banyak iklan yang dihamburkan kepada anda dan ada antaranya tidak mesra keluarga sekalipun.
Satu kekurangan YouTube Music adalah ia tiada pelan percuma tapi mereka ada tawarkan percubaan percuma selama 1 bulan untuk dicuba.
Anda boleh layari laman rasmi YouTube Music untuk maklumat lanjut.
Tidal
Tidal memang terkenalk dengan penawaran penstriman berkualiti tinggi sejak pengenalannya. Mereka menggunakan format FLAC untuk strimkan kandungan mereka dan kualiti terendah mereka adalah separas kualiti tertinggi YouTube Music. Untuk kepuasan maksimum, Tidal boleh dilayani dalam spesifikasi 23-bit/192kHz.
Tidal ada sesuatu yang unik yang tiada pada mana-mana servis penstriman dalam senarai ini. DJ Extension servis membolehkan lagu-lagu di Tidal di-mix melalui perkakasan-perkakasan DJ seperti rekordbox, Serato, djay Pro, VirtualDJ, edjing, Denon DJ, DJUCED, DEX 3, dan Tribe XR.
Ia berikan akses jutaan lagu berkualiti tinggi pada DJ yang boleh digunakan secara luar talian malah boleh dikategorikan mengikut rentak per minit untuk mudahkan mereka memadankan lagu yang sesuai.
Tidal mempunyai sokongan yang amat meluas, malah lebih luas daripada Apple Music, apatah lagi YouTube Music. Berikit adalah senarai ringkas sokongan Tidal:
- Smart TV: Chromecast, Vizio, Apple TV, Samsung TV, Android TV
- Automotif: Tesla, Mercedes-Benz, Volkswagen, Apple CarPlay, Android Auto
- Telefon/Tablet: Android, iOS
- Peranti boleh pakai: Apple Watch, Samsung Gear
- Lain-lain: Amazon Alexa, Sonos, banyak lagi
Tidal dulunya adalah satu produk penstriman audio yang mahal untuk kandungan audio beresolusi tinggi. Namun bermula 10 April 2024, penawarannya telah dipermudah apabila add-on Hi-Res juga ditambah masuk ke pelan murah tanpa perlu langganan tambahan.
Ia lantas jadikan Tidal adalah servis penstriman terbaik untuk audiofilia.
Harga langganan Tidal di Malaysia
Tidal tiada pelan Student seperti Apple Music dan YouTube Music. Malahan ia juga tiada pelan percuma beriklan kecuali percubaan selama sebulan. Ada dua pelan boleh dipilih iaitu Individual dan Family masing-masing pada harga RM16.90/bulan dan RM25.90/bulan. DJ Extension pula boleh ditambah pada langganan sedia ada pada RM12.90.
Saya tidak sarankan Tidal untuk dilanggan pengguna yang ada kuota internet terhad kerana kualiti terendahnya sudah mencapai 320kbps makanya penggunaan Tidal selama sejam menelan sekurang-kurangnya 1.2GB kuota Internet.
Anda boleh layari laman rasmi Tidal untuk maklumat lanjut.
Bacaan berkaitan
5 Terbaik: Laptop untuk pelajar sains komputer dengan bajet RM3,000
5 Terbaik: Jam pintar mirip Apple Watch dan serasi peranti Android
5 Terbaik: Jam pintar ada NFC boleh bayar guna Apple Pay, Samsung Pay & Google Pay
5 Terbaik: Telefon murah untuk rakam video vlog dan IG Story tanpa gegar
5 Terbaik: Telefon gaming murah berbaloi, prestasi tinggi dan ada pengecasan Bypass