Apabila bercakap tentang AI, nama ChatGPT yang pasti antara benda yang berada di fikiran, betul tak? Ia merupakan antara chatbot AI terawal yang diperkenal pada tahun 2022. Namun, tahukah anda terdapat beberapa lagi platform AI lain yang ada fungsi dan kemampuan setaraf dengan ChatGPT untuk bantu anda untuk pelbagai tugasan?
Ada lima alternatif lain yang anda boleh pertimbang, boleh digunakan percuma tanpa akaun, pakai bahasa model besar LLM OpenAI GPT-4 dan boleh lakukan penjanaan imej AI. Jadi dalam artikel ini kami kumpulkan dan senaraikan lima alternatif ChatGPT terbaik yang anda boleh cuba.
1. Microsoft Copilot
Microsoft sertai persaingan chatbot AI ini dengan memperkenalkan Copilot pada hujung tahun 2023. Ia berfungsi sama seperti ChatGPT, dengan kebolehan menjawab pelbagai pertanyaan serta ada keupayaan untuk membantu pengguna dalam tugasan seperti pengaturcaraan, penulisan serta menganalisis data menggunakan model bahasa besar (LLM) GPT-4o.
Selain itu, sebarang carian maklumat juga akan disertakan sekali bersama-sama sumber pautan pada ayat spesifik, memudahkan anda untuk menyemak semula fakta yang dijana. Ia juga menyokong pertanyaan dalam Bahasa Melayu. Copilot juga boleh melakukan penjanaan imej AI dengan sokongan model DALL-E 3. Lagi menarik, imej yang dihasilkan boleh diubah dengan Copilot Designer.
Copilot turut boleh digunakan di pelayar dan aplikasi. Walaupun Copilot percuma untuk digunakan, perlu untuk anda tahu yang setiap sesi terhad untuk lima pertanyaan sahaja, sebelum anda perlu memulakan sesi chat yang baru.
Selain versi percuma, terdapat juga Copliot Pro yang menggunakan bahasa model ChatGPT 4 yang lebih berkuasa serta membuka akses untuk Copilot digunakan pada pelbagai produk Microsoft lain macam Word, Excel dan Teams. Harga langganan Copilot Pro di Malaysia adalah pada RM98/bulan.
2. Gemini
Asalnya dikenali sebagai Bard, Gemini adalah chatbot AI yang diperkenal Google pada akhir tahun 2023. Ia ada keupayaan keseluruhan baik dalam menjawab segala persoalan dan carian, serta agak bagus dalam tugasan pengaturcaraan. Gemini menggunakan model bahasa yang dibangunkan Google, dengan versi percuma menggunakan model Flash 1.5, manakala versi berbayar menggunakan Pro 1.5.
Selain itu, menggunakan model Imagen 2, Gemini juga boleh menjana imej AI, tetapi tidak untuk imej yang berkaitan dengan orang. Yang bagusnya Gemini adalah, ia tak ada had penggunaan harian dan pertanyaan juga akan disediakan dalam tiga draf berbeza membolehkan anda memilih gaya yang paling anda suka.
Gemini juga menyokong pertanyaan dalam Bahasa Melayu. Namun begitu, sementara ia boleh diakses melalui pelayar dan aplikasi di Android, ia tidak tersedia untuk dimuat turut di Apple Apps Store.
Anda boleh melanggan Gemini Advanced pada harga RM97.99/bulan, berikan akses pada model Gemini 1.5 Pro lebih berkuasa. Langganan Gemini Advanced juga akan disekalikan dengan perkhidmatan Google One untuk penggunaan Gemini di Gmail, Docs, dan banyak lagi.
3. Perplexity
Perplexity merupakan platform AI yang diperkenal pada tahun 2022. Sementara ia diiklankan lebih kepada enjin carian pintar berbanding chatbot AI, ia masih mampu membantu anda dalam pelbagai tugasan termasuklah dalam menganalisis data, pengaturcaraan penulisan yang diintegrasikan pelbagai bahasa model AI.
Selain itu, ia juga boleh digunakan secara percuma tanpa perlu mendaftar dan tiada had penggunaan. Namun, kekurangan Perplexity ini adalah versi percumanya tak mempunyai ciri penjanaan imej AI.
Kelebihan utama Perplexity adalah ia mampu memberikan maklumat dengan lebih mendalam, serta anda boleh tetapkan carian khusus seperti carian kertas akademik, video pembelajaran serta pendapat dan diskusi orang ramai. Anda juga ada pilihan untuk menjana jawapan tanpa menggunakan internet, iaitu sama seperti ChatGPT dan anda boleh menanyakan soalan dalam Bahasa Melayu.
Perplexity juga akan menyediakan cadangan soalan susulan yang berkaitan selepas sesuatu pertanyaan. Anda juga boleh akses Perplexity di pelayar, serta di aplikasi mudah alih di iOS dan Android. Untuk anda yang mahukan akses kepada model lebih berkuasa serta keupayaan menjana imej, terdapat Perpelxity Pro yang boleh dilanggan pada harga USD20 (~RM89) sebulan.
4. Claude
Seterusnya adalah Claude, sebuah chatbot AI oleh Anthropic. Ia menggunakan model bahasa mereka tersendiri, iaitu Claude 3.5 Sonnet dan menariknya, ia menawarkan interaksi seperti anda berbual dengan manusia. Model ini juga ada keupayaan untuk menganalisis imej, graf dan carta, selain daripada mampu untuk menjawab segala pertanyaan dan carian umum di Internet dalam Bahasa Melayu. Ia juga agak bagus dalam pengaturcaraan dan lengkap dengan ciri Artifacts yang membolehkan anda memuat turun kod atau teks yang dijana Claude.
Claude juga boleh digunakan secara percuma tetapi anda perlu mendaftar akaun terlebih dahulu. Namun, satu kelemahan Claude ini adalah ia ada had penggunaan harian rendah. Sekiranya sudah mencapai had maksimum, anda tak boleh gunakannya sehingga masa yang ditetapkan. Ini termasuk untuk langganan Pro, walaupun hadnya diberikan 5 kali lebih banyak berbanding versi percuma.
Bagaimanapun, selain pelayar, Claude juga boleh diakses aplikasi iOS dan Android. Terdapat juga langganan Claude Pro yang akan memberikan anda akses kepada lebih hebat model Opus dan Haiku dan harga langganannya adalah pada kadar USD20 (~RM89) sebulan.
5. You.com
Terakhir adalah You.com yang diperkenal pada tahun 2021. Macam platform lain, You.com juga boleh digunakan untuk apa-apa carian maklumat di internet, selesaikan masalah matematik, pengaturcaraan serta bantuan menulis. Setiap maklumat yang diberikan turut akan disertakan sekali bersama sumber laman web dan ia juga menyokong pertanyaan Bahasa Melayu.
Platform ini boleh digunakan secara percuma tanpa perlu mendaftar dan anda boleh gunakannya tanpa had. Namun, ia tidak boleh menjana imej AI. Untuk gunakannya, anda ada pilihan untuk guna di pelayar ataupun di peranti iOS dan Android.
Selain versi percuma, terdapat juga langganan YouPro yang memberikan akses kepada model AI lain macam GPT-4, Claude 3 Opus, Gemini 1.5 Pro, Llama 3 dan Dolphin 2.5. Harga langganannya adalah USD 15 (~RM53) atau secara tahunan pada USD 20 (~RM89).
Kesimpulannya, kesemua platform AI tadi ada kelebihan tersendiri untuk keperluan tertentu walaupun semua cukup bagus untuk carian umum dan pertanyaan ringkas. Tetapi Microsoft Copilot adalah yang terbaik untuk imej penjanaan AI. Perpelixity pula sesuai untuk anda yang nak buat kajian serta mencari kertas akademik.
Sementara itu, Google Gemini pula bagus untuk mencari data semasa, manakala Claude paling sesuai untuk pengaturcaraan. Untuk anda yang tak perlukan penjanaan imej AI dan mahukan Chatbot AI ringkas, You.com sudah memadai.