Jam pintar Huawei kini menerima satu lagi ahli baharu, iaitu Huawei Watch D2. Ia merupakan jam pintar generasi terbaru Huawei yang menampilkan fungsi pemantauan tekanan darah terus dari jam, iaitu kemas kini daripada Watch D yang pernah Huawei lancar sekitar tahun 2022.
Pelancarannya dilakukan di samping tablet MatePad 12 X, dan seperti tablet, Huawei juga telah mengumumkan maklumat mengenai tempahan awal serta harga penjualannya di Malaysia.
Harga dan ketersediaan Huawei Watch D2 di Malaysia
Huawei Watch D2 dijual di Malaysia pada harga RM1,999, sama seperti generasi sebelumnya. Tempahan awalnya dibuka mulai sekarang sehingga 29 November 2024, dan penempah awal akan terima hadiah bernilai sehingga RM1,276. Ini termasuk fon putik FreeBuds Pro 2, penimbang berat Huawei Scale 3, tali jam Watch D2, waranti dua tahun dan perlindungan kerosakan sebanyak 2 kali.
Malah, baucar RM100 turut boleh ditebus oleh penempah awal, menjadikan Watch D2 boleh didapati pada harga RM1,899. Untuk lakukan tempahan, anda boleh singgah ke stor online Huawei atau di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Huawei Watch D2
Huawei Watch D2 memiliki rekaan yang lebih moden dan skrin lebih besar berbanding generasi sebelumnya. Ia menggunakan skrin AMOLED 1.82-inci dengan kecerahan puncak 1,500 nits dan kepadatan piksel 347 atau beresolusi 480 x408. Di sisi jam, terdapat juga ada butang boleh diputar dan satu lagi butang untuk kawalan jam.
Merumahkan segala komponen itu adalah badan yang diperbuat daripada aluminium yang turut ada tahap kekalisan air IP68. Huawei menyatakan berat jam ini hanya 1/26 berbanding alat tekanan darah biasa, serta talinya juga menggunakan rekaan ultra nipis hanya 26.5mm walaupun dilengkapi beg udara untuk membaca tekanan darah.
Perkara yang ingin diketengahkan pada jam ini sudah tentunya pada keupayaan membaca tahap tekanan darah. Jam ini dilengkapi dengan beg udara dan pam mini pada tali jam, membolehkannya untuk mengembang dan mengukur tahap tekanan darah pemakai secara berterusan dalam selang masa 15-30 minit selama 24 jam.
Untuk pengetahuan anda, Watch D2 juga adalah jam pintar dengan ciri pemantauan tekanan darah pertama yang menerima pengiktirafan daripada Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan (NMPA) China dan Peraturan Peranti Perubatan (MDR) Eropah, selain turut diiktiraf Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) di Malaysia.
Selain tahap tekanan darah, jam ini turut ada ciri pemantauan kesihatan lain seperti ECG, tahap oksigen dalam darah, kadar degupan jantung, tekanan perasaan serta suhu kulit. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat kesihatan mereka melalui Health Glance, yang menjana laporan kesihatan berdasarkan ciri pemantauan yang ada pada jam.
Bagi keperluan kecergasan, jam menampilkan lebih 80 mod sukan dan ia turut serasi dengan peranti dengan Android dan juga iOS. Hayat baterinya boleh mencapai sehingga 6 hari dalam penggunaan kasual, manakala hanya bertahan 1 hari sekiranya pemantauan tekanan darah berterusan dihidupkan.
Ciri ketersambungan yang ada pada jam ini termasuk NFC, Bluetooth 5.2 dan GPS. Watch D2 boleh didapatkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan emas.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Huawei Watch D2.