Proton kini telah mengesahkan bahawa Proton Saga 2026 akan dilancarkan secara rasmi pada 27 November. Ini berdasarkan senarai acara penstriman langsung di laman Facebook rasmi pengeluar automotif nasional itu.
Antara perkara utama yang dijangka diumumkan pada majlis pelancaran besar nanti ialah harga rasmi Proton Saga 2026. Sebelum ini, Proton memaklumkan bahawa model baharu ini mempunyai harga anggaran antara RM40,000 hingga RM50,000.

Proton turut menawarkan servis percuma selama 1 tahun atau 20,000km, serta kad Touch ‘n Go edisi terhad untuk 20,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan dan melengkapkan pendaftaran kenderaan sebelum 31 Disember 2025.
Sebagai perbandingan, model sebelumnya, Proton Saga MC2, kini dijual pada harga antara RM34,800 hingga RM44,800. Melihat kepada julat harga tersebut, ada kemungkinan Saga MC3 akan ditawarkan pada harga yang sedikit lebih rendah daripada angka anggaran yang diumumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, model baharu ini turut menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 10,000 unit telah ditempah setakat ini. Timbalan CEO Proton, Ir. Abdul Rashid Musa, sebelum ini memaklumkan bahawa penghantaran akan bermula sebaik sahaja pelancaran rasmi berlangsung.
Spesifikasi Proton Saga 2026

Saga 2026 menampilkan rekaan semula sepenuhnya dengan gaya yang lebih moden. Bahagian hadapan kini dihiasi gril baharu berinspirasikan motif Sulaman Songket, diapit oleh lampu utama LED projektor dengan Daytime Running Lamps (DRL).
Bahagian belakang pula tampil dengan lampu LED penuh dan light bar merentasi but, melengkapkan rupa yang lebih premium. Untuk roda, Saga baharu ini menggunakan rim aloi dwitona 15 inci yang direka semula, khas untuk varian tertinggi Premium.

Salah satu peningkatan terbesar terletak di bawah hud. Saga 2026 kini menggunakan enjin 1.5L i-GT baharu, sama seperti yang digunakan pada Proton X50 2026 tetapi tanpa turbo. Enjin ini menghasilkan 118hp (88kW) dan 150Nm tork, digabungkan dengan dua pilihan transmisi sama ada CVT (Premium) atau 4AT (Standard dan Executive)
Proton turut mendakwa penggunaan bahan apinya kini serendah 4.9L/100km (untuk varian CVT). Turut diperkenalkan ialah Electric Power Steering (EPS) bagi pemanduan lebih responsif, sementara talaan Ride & Handling Proton memastikan keseimbangan optimum antara keselesaan dan kawalan.


Satu lagi kemas kini besar, Proton Saga 2026 kini dilengkapi paparan instrumen digital 7 inci dan skrin infotainmen 9 inci, yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay (AACP) sama ada berwayar atau tanpa wayar.
Dari segi keselamatan, Saga 2026 dilengkapi 6 beg udara, serta struktur badan Proton Reinforced Safety Structure (RESS) menggunakan Hot Press Forming (HPF). Selain itu, terdapat juga sistem bantuan pemandu tahap 1 (Level 1 ADAS) dengan sembilan fungsi utama:
- Autonomous Emergency Braking (AEB)
- Forward Collision Warning (FCW)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Front Departure Alert (FDA)
- Intelligent High Beam Control (IHBC)
- Rear Collision Warning (RCW)
- Lane Change Assist (LCA)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Door Opening Warning (DOW)






