Samsung Malaysia kini secara rasmi memperkenalkan telefon kelas pertengahan terbaharu mereka, iaitu Galaxy A27 5G.
Sebagai pengganti kepada model Galaxy A25 5G terdahulu, Galaxy A27 5G hadir dengan beberapa penambahbaikan termasuk rekaan skrin baharu, cip pemproses lebih berkuasa, kamera selfie yang dipertingkatkan serta ciri AI Awesome Intelligence terkini daripada Samsung.
Harga dan ketersediaan Samsung Galaxy A27 5Gdi Malaysia

Samsung Galaxy A27 5G ditawarkan dalam dua varian storan dengan harga seperti berikut:
- Galaxy A27 5G (8GB RAM + 128GB storan) – RM1,399 (harga promosi RM1,299)
- Galaxy A27 5G (8GB RAM + 256GB storan) – RM1,499 (harga promosi RM1,399)
Peranti ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, biru gelap dan pink.
Bersempena pelancarannya, Samsung turut menawarkan promosi sehingga 21 Julai 2026, yang mana pembeli dalam tempoh tersebut akan menerima naik taraf storan berganda secara percuma bernilai RM100, di samping sarung telefon percuma, selagi stok masih ada.
Bukan itu sahaja, pembeli Galaxy A27 5G turut layak menerima diskaun 10% untuk pembelian produk ekosistem Samsung lain (PWP) seperti Galaxy Buds4, Galaxy Buds3 FE, Galaxy Fit3, dan siri Galaxy Tab A11.
Spesifikasi Samsung Galaxy A27 5G

Peningkatan paling ketara pada Galaxy A27 5G adalah pada bahagian skrinnya. Samsung akhirnya membuang takuk berbentuk titisan air (waterdrop notch) yang lama dan menggantikannya dengan lubang kamera jenis Infinity-O yang nampak lebih premium dan bersih.
Skrin bersaiz 6.7″ini menggunakan panel Full HD+ Super AMOLED yang menyokong kadar segar semula 120Hz, serta dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass Victus+. Profil badannya juga kini lebih nipis dengan ketebalan 7.8mm, berat sekitar 200g, dan menampilkan bezel skrin yang lebih simetri.
Dari segi prestasi, peranti ini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 3 (4nm). Ia digandingkan bersama RAM sebesar 8GB dan pilihan storan sehingga 256GB. Slot mikroSD turut tersedia membolehkan storan diperluas lagi sehingga 2TB.
Untuk sektor fotografi, bahagian belakangnya dilengkapi dengan sistem tiga kamera iaitu kamera utama 50MP dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS), kamera ultralebar 5MP, dan kamera makro 2MP. Sementara itu, tugasan swafoto kini dikendalikan oleh kamera hadapan 12MP baharu, yang menjanjikan julat dinamiklebih luas serta warna kulit yang lebih semula jadi.

Sejurus keluar kotak, Galaxy A27 5G menjalankan Android 16 bersama antaramuka One UI 8.5. Peranti ini turut hadir dengan ciri Awesome Intelligence, merangkumi fungsi Circle to Search yang telah dipertingkat untuk mengecam lebih daripada satu objek dalam satu imej, fungsi memadam objek Object Eraser yang lebih kemas, serta transkripsi suara beserta terjemahan yang menyokong 22 bahasa. Malah, peranti ini turut menyokong pembantu pintar Google Gemini, Perplexity, dan Bixby secara terus.
Membekalkan kuasa kepada peranti ialah bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W.
Samsung turut menjanjikan sokongan perisian jangka panjang dengan sehingga enam generasi kemas kini Android dan One UI, selain enam tahun kemas kini keselamatan. Galaxy A27 5G turut memiliki penarafan kalis percikan air dan debu IP64 dan sistem keselamatan Samsung Knox Vault.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Samsung Galaxy A27.






