DJI baru sahaja melancarkan kamera 360 darjah terbaharu mereka, Osmo 360 II. Merupakan sekuel kepada Osmo 360 sedia ada, model baharu ini menawarkan ciri rakaman untuk menghasilkan kandungan panorama dengan lebih mudah.
Antara ciri utama yang dibawakan termasuk keupayaan menangkap foto 360 darjah HDR pada resolusi120MP, timelapse 360 darjah sehingga 16K serta video 8K pada 120fps. Kamera ini turut menyokong rakaman warna 10-bit dan profil warna D-Log M untuk memberikan lebih banyak fleksibiliti ketika menyunting video.
Selain itu, Osmo 360 II hadir dengan beberapa ciri baharu yang memudahkan proses rakaman dan penyuntingan, termasuk penjejakan subjek Spotlight Follow, sambungan NFC satu sentuhan serta lensa yang boleh diganti.
Harga dan Ketersediaan DJI Osmo 360 II di Malaysia

DJI Osmo 360 II akan ditawarkan secara rasmi di Malaysia dalam tiga konfigurasi seperti berikut:
- Osmo 360 II Standard Combo – RM2,189
- Osmo 360 II Adventure Combo – RM2,629
- Osmo 360 II Limitless Riding Combo – RM2,299
Tarikh jualan rasmi di Malaysia masih belum diumumkan dan DJI menyatakan ia akan dikongsikan kemudian pada September 2026. Buat masa ini, ia dibuka untuk tempahan melalui laman web DJI Malaysia.
Sempena pelancaran ini, DJI turut menawarkan promosi istimewa untuk pelan perlindungan DJI Care Refresh.

Pelanggan yang membeli serta mengaktifkan mana-mana produk siri Osmo 360 II yang layak antara 2 hingga 30 September 2026 akan menerima Pelan DJI Care Refresh 1 Tahun secara percuma, dengan faedah ini diaktifkan dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas peranti diaktifkan. Pelan ini menawarkan perlindungan terhadap kerosakan tidak sengaja, termasuk kerosakan akibat air, hentakan dan haus lusuh biasa, tertakluk kepada terma dan syarat yang berkenaan.
Spesifikasi dan ciri DJI Osmo 360

Pembaharuan utama pada kamera DJI Osmo 360 II adalah pada sensor. Ia dilengkapi sensor berbentuk segi empat bersaiz 1″, dikatakan yang pertama dalam industri. DJI menyatakan reka bentuk sensor ini membolehkan kamera mengekalkan medan pandangan 360 darjah yang sama seperti sensor segi empat tepat 1 inci konvensional.
Sensor ini menawarkan julat dinamik sehingga 14.5 stop dan saiz piksel 2.4μm untuk membantu menghasilkan rakaman dengan lebih banyak perincian, terutamanya dalam keadaan cahaya rendah di samping dilengkap lgoritma pengurangan hingar terbaharu, AI SuperNight 2.0. Manakala untuk rakaman, Osmo 360 II kekal boleh merakam video 360 darjah sehingga resolusi 8K/60fps

Selain video 8K, Osmo 360 II turut menawarkan beberapa mod kreatif. Kamera ini boleh menghasilkan foto HDR 360° pada resolusi sehingga 120MP, dengan fokus kepada pencahayaan dan kontras yang lebih semula jadi.
Untuk merakam perubahan pemandangan dari masa ke masa, terdapat mod timelapse 360° sehingga 16K. Mod Clouds pula boleh digunakan untuk merakam pergerakan awan dan langit dalam pemandangan 360°.
Osmo 360 II turut mempunyai mod 64× Slow Motion. Rakaman boleh diperlahankan sehingga 64 kali menggunakan interpolasi bingkai berasaskan AI dalam DJI Studio. DJI menyatakan hasilnya adalah bersamaan dengan rakaman 8K/480fps yang dipangkas.
Terdapat juga mod Vortex 8K/120fps, yang membolehkan pengguna menghasilkan rakaman gerak perlahan dengan perspektif sekeliling hanya dengan menghayunkan kamera. Ia turut menyokong kedalaman warna 10-bit untuk semua format video, membolehkannya merakam lebih daripada satu bilion warna dan juga menawarkan profil warna D-Log M.
Lagi tambahan ciri baharu adalah, Osmo 360 II turut dilengkapi ciri Spotlight Follow, teknologi yang terdapat pada kamera Osmo Pocket dan siri kamera dron mereka bagi penjejakan subjek secara pintar untuk mengekalkannya di tengah bingkai secara automatik walaupun kamera berpusing atau berubah arah.

Kamera ini juga dilengkapi kawasan NFC baharu untuk memudahkan aliran kerja, membolehkan pengguna tap bagi menyambungkan kamera dengan aplikasi DJI Mimo, memindahkan rakaman atau terus ke halaman penyuntingan dalam aplikasi. Fail video 360° yang dieksport daripada DJI Studio juga boleh diimport terus ke DaVinci Resolve menggunakan plugin khusus.
Untuk kegunaan seperti menunggang motosikal, kamera ini boleh dipasang di mana-mana sudut dan dikawal menerusi Gesture Control atau Voice Control tanpa perlu melepaskan tangan daripada pemegang. Bagi vlogger pula, ciri Dual Recording membolehkan pengguna merakam pemandangan sekeliling dan beberapa orang dalam satu bingkai serentak.

Satu lagi ciri menarik pada Osmo 360 II ialah reka bentuk lensa yang boleh diganti. Kedua-dua lensa menggunakan salutan optik ultra-keras yang direka untuk meningkatkan ketahanan terhadap calar dan kehausan. Sekiranya lensa mengalami kerosakan, pengguna boleh menggantikannya dan meneruskan penggunaan kamera tanpa perlu menukar keseluruhan peranti.
DJI turut mengetengahkan penggunaan Osmo 360 II untuk pelbagai aktiviti. Kamera ini boleh digunakan dalam air sedalam 10 meter tanpa sebarang casing tambahan, dan boleh mencecah kedalaman 50 meter apabila digunakan bersama Invisible Waterproof Case. Ia juga mampu beroperasi pada suhu serendah -20°C, sesuai untuk aktiviti seperti bermain ski.


Untuk kegunaan seperti menunggang motosikal, kamera ini boleh dipasang di mana-mana sudut dan dikawal menerusi Gesture Control atau Voice Control tanpa perlu melepaskan tangan daripada pemegang. Bagi vlogger pula, ciri Dual Recording membolehkan pengguna merakam pemandangan sekeliling dan beberapa orang dalam satu bingkai serentak.
Kamera ini hanya seberat 183g dan dilengkapi storan dalaman 105GB. Dari segi bateri, ia mampu merakam berterusan selama 100 minit pada resolusi 8K/30fps dan boleh dicas pantas sehingga 80% hanya dalam masa 22 minit. Jangka masa rakaman ini boleh dipanjangkan lagi sehingga 180 minit tambahan dengan menggunakan Battery Extension Rod.
Osmo 360 II dilengkapi susunan empat mikrofon terbina dalam serta reka bentuk pengurangan bunyi angin, menghasilkan audio yang jernih terus daripada kamera. Menerusi teknologi DJI OsmoAudio Direct Microphone Connection, kamera ini turut serasi dengan DJI Mic 3, DJI Mic 2, DJI Mic Mini 2S, DJI Mic Mini 2 dan DJI Mic Mini.
Layari laman produk DJI Osmo 360 untuk maklumat spesifikasi lebih lanjut.






