Pernah terfikir anda boleh bayar barangan yang dibeli dengan hanya menggunakan muka? Walaupun dengar seakan mustahil, ia kini menjadi realiti dengan pengenalan FacePay, sebuah sistem pembayaran berasaskan pengecaman wajah pertama di Malaysia daripada Aeon Credit.
Menurut AEON, FacePay membolehkan pengguna AEON Wallet yang berdaftar membuat bayaran hanya dengan mengimbas wajah di kaunter layan diri terpilih. Tanpa perlu mengimbas kod QR atau menyentuh kad fizikal, sistem ini akan mengecam wajah anda dan memproses transaksi terus daripada akaun pembayaran AEON yang dipautkan.
AEON Credit menyifatkan FacePay sebagai pengalaman pembayaran imbasan wajah pertama di Malaysia. Buat masa ini, ciri berkenaan ditawarkan secara eksklusif di AEON Supermarket KL Midtown.
Cara daftar dan guna Aeon FacePay

Untuk mula menggunakan fungsi ini, pendaftaran perlu dibuat terlebih dahulu melalui aplikasi AEON Wallet. Proses tetapan ini hanya perlu dilakukan sekali sahaja, melibatkan pendaftaran data wajah dan penetapan Face Code 6 digit sebagai pengesahan keselamatan.
Berikut ialah cara untuk mengaktifkan FacePay:
- Buka aplikasi AEON Wallet.
- Pilih bahagian Profile.
- Tekan Set up FacePay.
- Imbas dan daftarkan wajah mengikut arahan pada skrin.
- Cipta kod Face Code enam digit untuk pengesahan pembayaran.

Selepas pendaftaran selesai, anda sudah boleh menggunakannya untuk membayar barang. Di kaunter layan diri, pilih kaedah bayaran FacePay, imbas muka anda pada skrin, dan sistem akan terus mengecam profil anda. Dari situ, anda boleh memilih untuk menolak baki daripada Aeon Wallet atau kad Aeon yang telah dipautkan.
Mungkin ada yang bimbang, macam mana kalau orang guna gambar muka kita? Aeon Credit telah melengkapkan sistem ini dengan teknologi liveness detection bagi membantu menghalang pembayaran tanpa kebenaran menggunakan gambar wajah seseorang.
Selain itu, untuk transaksi yang melebihi had tertentu, sistem akan meminta anda memasukkan Face Code di skrin kaunter sebagai langkah keselamatan tambahan.
Sekiranya FacePay tidak tersedia atau anda memilih untuk tidak menggunakan pengecaman wajah, pembayaran masih boleh dibuat seperti biasa menggunakan AEON Wallet atau kad fizikal AEON.
Dapat sehingga 6x AEON Points menerusi FacePay
Bagi menggalakkan orang ramai mencubanya, AEON Credit menganjurkan kempen ganjaran pengenalan bermula 5 November hingga 31 Disember 2026.
Sepanjang tempoh promosi, setiap kali anda membayar menggunakan FacePay, anda akan menerima tambahan 1 Mata Aeon bagi setiap RM1 yang dibelanjakan. Jika digabungkan dengan ganjaran kad Aeon sedia ada, anda berpeluang mengumpul sehingga 6x Mata Aeon.
Pun begitu, kuota kempen ini terhad kepada 300,000 Mata AEON sahaja dan diagihkan mengikut konsep siapa cepat, dia dapat. Mata ganjaran bonus akan dikreditkan ke akaun anda dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh transaksi. Promosi ini terbuka kepada pemegang akaun AEON Wallet Basic dan Premium, serta pemegang kad kredit dan kad prabayar AEON Member Plus terpilih.
Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh dirujuk di halaman promosi rasmi FacePay serta terma dan syarat yang ditetapkan oleh AEON Credit.
AEON Credit buka cawangan AI Flagship pertama di KL Midtown

Selain memperkenalkan FacePay, AEON Credit turut membuka cawangan AI Flagship pertamanya di AEON Mall KL Midtown.
Berbeza daripada kaunter perkhidmatan konvensional, cawangan baharu ini dilengkapi AI Greeter yang menyambut pelanggan dan bantu mengarahkan mereka kepada perkhidmatan yang diperlukan.
Ia turut menyediakan Smart Pods persendirian yang membolehkan pelanggan meneroka produk kewangan menerusi panel digital atau berhubung dengan ejen secara dalam talian. Bagi pemegang kad dan ahli, terdapat Members’ Lounge khas yang menyediakan minuman serta ruang untuk berehat dan sertai aktiviti komuniti.
Menurut AEON Credit, cawangan KL Midtown akan dijadikan lokasi percubaan bagi pengenalan teknologi baharu. Syarikat turut merancang bawa pengalaman serupa kepada lebih ramai pelanggan pada masa akan datang.






