Kata laluan adalah perkara yang penting dalam dunia digital masakini. Kerana itu, kita sering diingatkan untuk menggunakan kata laluan yang selamat dan sukar diceroboh penjenayah siber. Sering dinasihatkan agar kata laluan mestilah panjang dan gabungan nombor, simbol, huruf kecil dan besar. Tetapi salah satu perkara membuatkan kata laluan mudah diceroboh adalah kerana ia mudah diteka.
Secara keseluruhan, kata laluan yang paling popular digunakan di seluruh dunia adalah ‘123456‘. Tetapi ia sebenarnya berbeza mengikut kawasan, lokasi dan negara.
ExpressVPN, penyedia perkhidmatan VPN telah berkongsi dapatan mereka tentang kata laluan yang sering digunakan mengikut negara. Maklumat ini diperoleh menerusi kajian pihak ketiga tentang kata laluan yang terbocor, oleh Ata Hakçıl di Github.
Apa yang menarik dalam senarai ini adalah, Indonesia dan Malaysia ada kata laluan popular yang sama, iaitu sayang. Ini tidaklah menghairankan kerana kedua-dua negara berkongsi bahasa yang hampir serupa. Tetapi ini juga menandakan penjenayah siber boleh meneka lebih mudah kata laluan yang sering digunakan di Indonesia dan Malaysia.
Laporan ini juga menekankan bahawa bagaimana budaya setempat mempengaruhi pilihan kata laluan yang popular. Jika di UK perkataan ‘password‘ adalah antara yang popular, di Jerman pula ia adalah ‘passwort‘ kerana bahasa mereka begitu. Di Juventus, Itali pula, perkataan ‘Juventus‘ sendiri adalah paling popular di tempat mereka tetapi di seluruh Itali, ia berada di tempat ke-4.
‘Anathema‘ mungkin tidak diketahui ramai di tempat lain tetapi di Turki, ia adalah kumpulan penyanyi yang sangat popular sehingga menjadi pilihan ramai rakyat Turki. Satu lagi dapatan menarik adalah di Perancis di mana perkataan ‘azerty‘ sangat popular kerana papan kekunci mereka disusun berbeza dengan kebiasaan di tempat lain iaitu ‘qwerty‘.
Secara ringkas, laporan ini turut menyebut bahawa ramai orang menggunakan maklumat peribadi sebagai kata laluan seperti berikut:
- Nama pertama – 42.30%
- Nama akhir – 40.00%
- Nama tengah – 31.60%
- Tarikh lahir – 43.90%
- Nombor keselamatan sosial – 30.30%
- Nombor telefon – 32.20%
- Nama haiwan peliharaan – 43.80%
- Nama anak – 37.50%
- Nama bekas pasangan – 26.10%
Sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga, cuba gunakan kata laluan yang tidak berkaitan maklumat peribadi serta bukan perkataan yang popular. Kata laluan yang baik mestilah panjang sekitar 12-15 gabungan huruf, nombor atau simbol. Serta ia mestilah unik dan cuba berbeza pada setiap laman web atau daftar masuk. Kerana jika satu kata laluan terdedah, ia mudah digunakan di tempat lain jika sama.
Anda boleh menggunakan pengurus kata laluan atau password manager untuk menggunakan kata laluan yang berbeza di tempat berlainan. Hanya ingat satu kata laluan untuk menggunakan kata laluan yang berlainan.
Selain itu, berjaga-jaga dengan penipuan yang cuba digunakan penjenayah siber untuk mencuri kata laluan seperti menerusi laman web dan aplikasi palsu. Jangan mudah terpedaya dengan ugutan siber dan sentiasa ambil tahu berita terkini tentang teknik penipuan terbaru.
[Sumber: ExpressVPN]