Seperti yang dimaklumkan, AirAsia X akan menukar semua kredit yang belum digunakan kepada baucar perjalanan dalam masa beberapa bulan akan datang. Menurut kenyataan AirAsia X, langkah ini diambil untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Pada masa yang sama, ia memberi kelebihan buat pelanggan kerana baucar ini sah digunakan dalam masa 5 tahun dari tarikh ia dikeluarkan.
Semua kredit yang tidak digunakan sebelum penstrukturan hutang akan ditukar kepada baucar perjalanan
Jika anda masih ada kredit yang belum digunakan yang dikeluarkan AirAsia X sebelum proses penstrukturan hutang mereka, semua kredit tersebut akan ditukar kepada baucar. Contohnya, jika dahulu anda menerima pemulangan kredit pada 2 tahun lepas kerana pembatalan penerbangan AirAsia X, maka kredit ini akan turut ditukar kepada baucar perjalanan.
Sebelum penukaran kepada baucar perjalanan ini diumum, pengguna boleh menggunakan kredit tersebut untuk mana-mana penerbangan AirAsia termasuk penerbangan domestik. Malah, kredit ini juga boleh digunakan untuk membeli tambahan seperti daftar masuk bagasi, makanan dan kerusi pilihan. Tetapi apabila ia telah menjadi baucar, ia hanya boleh digunakan untuk penerbangan AirAsia X dengan kod D7 sahaja.
Cara menggunakan baucar AirAsia X
Sudah ada pengguna yang terkesan telah menerima baucar perjalanan ditukar daripada kredit, menerusi emel mereka. Menurut AirAsia X, penumpang dengan kredit yang belum digunakan, akan menerima satu baucar dengan jumlah sepenuhnya. Ia sangat bagus digunakan untuk tempahan satu penerbangan, bukan dipecahkan dalam jumlah yang kecil.
Untuk menebus baucar ini, daftar masuk ke akaun AirAsia dan buat tempahan penerbangan AirAsia X dengan kod D7. Sebelepas memilih waktu penerbangan, JANGAN TEKAN ‘Checkout’ lagi kerana itu akan membuat pembayaran diproses menggunakan kad yang telah disimpan.
Sebaliknya, pilih ‘Change’ dan ia akan membawa anda ke laman pembayaran lain yang membenarkan anda memasukkan kod baucar.
Jika nilai baucar tidak mencapai harga tiket, anda perlu membayar perbezaan harga tersebut menerusi pembayaran lain seperti kad kredit atau perbankan atas talian. Tetapi jika nilai baucar melebihi harga tiket, bakinya akan disimpan semula ke dalam akaun anda. Sama seperti menggunakan ‘Gift Card’, kod yang sama boleh digunakan untuk tempahan akan datang sehingga habis jumlahnya digunakan.
Apa terma dan syarat penggunaan baucar perjalanan AirAsia X?
Tidak seperti kredit biasa yang ada tempoh sah selama 2 tahun (ada yang dipanjangkan kepada 3 tahun), baucar perjalanan AirAsia X ini ada tempoh sah selama 5 tahun dari tarikh ia dikeluarkan. Jika anda menerima baucar pada 30 Mei 2022, ia sah digunakan sehingga 29 Mei 2027. Baucar ini tidak boleh dipindah milik dan ia terikat kepada akaun AirAsia anda.
Bunyinya macam sangat bagus untuk tempoh sah 5 tahun, tetapi ia ada sekatan tersendiri yang perlu diambil tahu. Pertama, ia hanya boleh digunakan pada penerbangan AirAsia X (D7) sahaja. Buat massa ini, ia hanya terbang ke beberapa destinasi seperti Sydney, New Delhi dan Seoul. Ia tidak boleh digunakan pada penerbangan AirAsia yang lain, seperti kod penerbangan AK, Z2, QZ, FD, I5 atau XJ.
Berita baiknya, tiada sekatan tarikh dikenakan jadi baucar perjalanan AirAsia X ini boleh digunakan sewaktu musim perayaan atau hujung minggu.
Kedua, baucar perjalanan ini hanya boleh digunakan untuk membayar tambang asas sahaja. Baucar ini tidak boleh digunakan untuk membayar cukai lapangan terbang, surcaj dan bayaran lain pesawat, insuran, serta tambahan seperti daftar masuk bagasi, makanan, kerusi atau lain-lain.
Pemegang pas AirAsia X Unlimited RM499 akan terima baucar
Selain kredit yang tidak digunakan, AirAsia X juga akan mengembalikan kepada pelanggan pas Unlimited RM499 dalam bentuk baucar. Kami dimaklumkan, baucar ini akan diberikan secara berperingkat, jadi ia mungkin akan dihantar sebagai baucar berasingan daripada baucar kredit. Melihat pada halaman checkout AirAsia, anda boleh menggabungkan sehingga 5 baucar dalam satu pembayaran.
Pelanggan terkesan akan terima satu kali bayaran 0.5% dan sebahagian keuntungan AirAsia X
Sebagai jaminan dan komitmen AirAsia dalam proses penstrukturan semula hutang, semua pelanggan AirAsia X yang terkesan akan menerima satu kali bayaran berjumlah 0.5% dari harga tiket yang dibayar, pada Mac 2023 kelak. Sebagai tambahan, pelanggan turut akan menerima sebahagian keuntungan AirAsia X, jika mereka dapat mencapai sasaran prestasi untuk tahun kewangan yang berakhir pada 2023-2036, seperti yang diterangkan dalam AirAsia X Explanatory Statement.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh baca ruangan soalan lazim (FAQ) serta terma dan syarat (T&C).
Bacaan Berkaitan
- AirAsia X akhirnya umum cara pulangan wang tertunggak penumpang dalam bentuk kredit, baucar perjalanan dan berkongsi keuntungan
- AirAsia X cadang untuk pulangkan 0.5% sahaja hutang tiket penerbangan sebagai langkah penstrukturan semula
- Harapan AirAsia X pulangkan duit tiket terkubur andai rancangan ini gagal
- Pas AirAsia SUPER+: Cara tempah tiket penerbangan, kegunaan insuran COVID-19 & penghantaran makanan tanpa had
- AirAsia Super+: Pelan tanpa had penerbangan domestik dan Asia Tenggara serta penghantaran makanan
- AirAsia yakin mampu bayar balik USD14 juta kepada penumpang dalam beberapa bulan