Fujifilm mengumum X-H2S sebagai pengganti X-H1. Pengumuman ini sangat dialu-alukan kerana generasi terdahulu diperkenalkan kepada awam dalam tahun 2018.
Tidak seperti sesetengah pengeluar yang senantiasa mengitar semula sensor, Fujifilm membawakan sensor baharu. Pada X-H2S, sensor 26.1MP digunakan, ia adalah sensor X-Trans CMOS 5. Ia dikatakan nyata lebih baik daripada yang digunakan pada X-H1 yang dulu.
Dengan sensor ini, X-H2S berkeupayaan menangkap gambar selanjar sepantas 40 bingkai sesaat, tanpa sebarang blackout pada EVF. Dua bahagian yang turut menerima manfaat penggunaan cip pemproses baharu adalah kejituan pembidik fokus yang dipertingkat serta pengurangan hingar sewaktu penggunaan kepekaan ISO tinggi.
Keupayaan merakam video pada X-H2S nyata lebih baik daripada generasi sebelumnya. Ia kini mampu merakam pada paras 4K@120fps berbanding 30fps sebelum ini.
Tidak terhad di situ, bila rakaman 4K@60fps digunakan, tiada sebarang crop berlaku pada framing dan ia adalah sesuatu yang baik kerana juruvideo tidak perlu melakukan penyuasaian sewaktu rakaman dilakukan kerana video yang dilihat menerusi EVF sebelum dan selepas butang rakam ditekan adalah berbeza.
Lagi yang akan menggembirakan juruvideo adalah sistem penstabil imej di dalam badan telah ditambah baik. Daripada 5.5-stops pada generasi terdahulu kini menjadi 7-stops.
Masalah haba adalah yang sering dirisaukan sewaktu merakam video. Untuk merungkaikan isu tersebut, Fujifilm ada membangunkan aksesori kipas tambahan yang boleh dipasang di bahagian belakang kamera untuk mengawal selia haba sewaktu penggunaan kamera.
Antara ciri-ciri yang dikekalkan daripada edisi terdahulu adalah fizikalitinya seperti grip yang agak besar ubagi memudahkan pengoperasian sebelah tangan. Di bahagian atas kamera juga ada paparan sekunder monokrom yang memaparkan tetapan kamera.
EVF elektroink kamera ini diberikan panel 5.76MP dan ada kadar segar semula 120fps. LCD kamera ini boleh dikilas keluar dan ada 1.62MP serta peka sentuhan.
Data-data yang dihimpun disimpan ke dalam sama ada CFexpress Type B ataupun kad SD UHS-II.
Di dalam pasaran A.S, Fujifilm X-H2S dijual pada harga USD2,499 (RM10,982) untuk badan sahaja. Ia boleh ditempah bermula Julai 2022. Untuk perbandingan Fujifilm X-H1 dijual pada harga RM7,988 (badan sahaja) ataupun dengan kombo grip bateri pada harga RM9,188 sewaktu dilancarkan. Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.
Bacaan berkaitan
Fujifilm X-H1 Dah Memasuki Malaysia Dan Kami Sempat Menggodeknya – SoyaCincau.com