Nothing, syarikat yang bercita-cita tinggi untuk merevolusikan semula dunia teknologi, hari ini telah berkongsikan rupa penuh telefon pintar yang akan mereka lancarkan tidak lama lagi. Bagaimanapun, ia hanya menunjukkan bahagian belakang telefon sahaja.
Nothing Phone (1) telah dijadualkan majlis pelancarannya pada 12 Julai 2022. Beberapa maklumat penting peranti ini telah dikongsi sebelum ini, antaranya belakang badan yang lutsinar dan itulah rupa yang didedahkan hari ini.
Walaupun rekaan lutsinar ini memberi nafas baru dalam rekaan telefon pintar, ia kelihatan agak mengecewakan. Ini kerana tiada bahagian penting seperti litar, cip atau bateri dapat kelihatan. Semuanya ditutup dengan kepingan yang seakan-akan besi. Apa yang menarik, hanya tinggal bulatan yang kelihatan seperti litar pengecasan wayarles.
Jika ada perkara lain yang boleh diterjemah dari gambar ini, ia adalah bahagian sisi telefon. Di sebelah kiri ada satu butang, pastinya butang kuasa. Di sebelah kanan pula ada dua butang untuk kawalan bunyi.
Di atas dan bawah telefon terdapat dua garisan putih untuk antenna, serta satu garisan di setiap kiri dan kanan. Tetapi tiada lubang audio 3.5mm kelihatan.
Tetapi mungkin ada yang terlepas pandang, Nothing Phone (1) hanya memiliki dua kamera di belakang. Adakah ia cuba meniru siri iPhone dan akan memperkenalkan versi lebih hebat dengan nama Pro/Max/Plus dengan tiga kamera belakang?
Rasanya Nothing cuba menghangatkan majlis pelancaran mereka dengan mendedahkan sedikit-demi sedikit perkara tentang Phone (1). Ia akan menjadi sangat menarik, jika Nothing mendedahkan satu perkara paling revolusi hanya di hari pelancaran.
Dari maklumat sebelum ini, Nothing menyatakan bahawa Phone (1) akan dilengkapi badan diperbuat daripada aluminium yang dikitar semula, belakang badan lutsinar, menyokong pengecasan wayarles, menggunakan pemproses Snapdragon dan dikatakan ia tiada bingkai di bawah. Ia juga akan dijamin dengan kemaskini Android selama 3 tahun dan kemaskini keselamatan selama 4 tahun.
Ura-ura menyatakan bahawa Nothing Phone (1) akan menggunakan cip Qualcomm Snadragon 7 Gen 1. Jika ia benar, kita boleh anggarkan harganya tidak mencecah peranti flagship iaitu melebihi RM3,000 di Malaysia. Harapnya tekaan ini tepat mengena.
[Sumber: Nothing]