Poco malam ini kembali ke pentas pelancaran dengan memperkenalkan dua telefon pintar dengan harga yang amat berbaloi berbanding prestasi yang diberikan. Dua telefon itu adalah Poco F4 dan Poco X4 GT.
Poco F4 menggantikan tempat Poco F3, menyediakan prestasi kelas flagship pada harga di bawah RM2,000. Sudah pasti, ia jauh di bawah Poco F4 GT yang dilancar bulan lepas. Bagaimanapun, kuasa pemproses utama di Poco F4 tidak banyak berubah daripada Poco F3.
Harga jualan dan promosi
Orang ramai boleh mula menempat Poco F4 di Malaysia mulai 27 Jun 202, eksklusif di Stor Poco Global di Shopee. Ada dua varian akan dijual di sini, dengan harga seperti berikut:
- Poco F4 (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM1,599
- Poco F4 (RAM 8GB + Storan 256GB) – RM1,699
Telefon baru ini datang dalam tiga pilihan warna iaitu Hijau, Perak dan Hitam.
Seperti biasa, Poco menawarkan diskaun untuk tempahan awal. Untuk waktu terhad sementara stok masih ada, diskaun RM100 diberikan kepada pembeli Poco F4, menjadikan harganya seperti berikut:
- Poco F4 (RAM 6GB + Storan 128GB) –
RM1,599RM1,499 - Poco F4 (RAM 8GB + Storan 256GB) –
RM1,699RM1,599
Spesifikasi Poco F4
Perkakas yang digunakan sebagai kuasa penggerak Poco F4 sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Poco F3. Ia masih menggunakan cip Snapdragon 870, RAM LPDDR5 antara 6GB atau 8GB, serta storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB. Apa yang dinaik taraf adalah sistem penyejukan dalaman, kini dengan teknologi LiquidCool 2.0 yang memiliki kebuk wap sebesar 3,112m2.
Paparannya juga seperti sama, berukuran 6.67-inci AMOLED HD Penuh, bersama kadar penyegaran 120Hz dan kadar sentuhan 360Hz. Kaca Corning Gorilla 5 juga masih sama, serta kadar kecerahan setinggi 1,300nits. Pengimbas capjari tidak di dalam skrin, tetapi digabungkan dengan butang kuasa di sisi.
Kapasiti baterinya boleh dikatakan berkurangan 20mAh, menjadi 4,500mAh sahaja tetapi ia menyokong pengecasan lebih pantas 67W. Ia mengambil masa 38 minit untuk mengecas dari 0-100%.
Poco dengan bangganya menyatakan kamera di Poco F4 menerima naik taraf utama. Ini kerana kamera utama dengan sensor 64MP, kini dilengkapi penstabil imej optikal (OIS) untuk tangkapan lebih tajam. Ia digandingkan dengan kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Untuk kamera hadapan, ia memuatkan sensor 20MP di dalam lubang yang dikatakan lebih kecil dari sebelum ini.
Sistem bunyi Poco F4 dihasilkan menerusi speaker stereo di bawah dan atas telefon, dilengkapi teknologi Dolby Atmos, tetapi tiada jek audio 3.5mm. Ia juga masih mengekalkan pemancar infra merah.
Lebih baik beli Poco F4 berbanding Xiaomi 11T?
Secara kasar, Poco F4 bersaing rapat dengan Xiaomi 11T kerana tanda harga yang agak sama. Kelebihan Xiaomi 11T adalah seperti bateri besar 5,000mAh, speaker stereo Harman Kardon dan kamera 108MP. Tetapi Xiaomi 11T dikuasakan cip Mediatek terbaik tahun lepas, Dimensity 1200. Xiaomi 11T turut dijanjikan 3 kali kemaskini OS dan 4 tahun kemaskini keselamatan, tetapi tiada khabar untuk Poco F4.
Secara keseluruhan, sukar untuk mengatakan yang mana lebih baik. Poco F4 yang lebih baru tetapi perkakas lama, atau Xiaomi 11T. Mungkin untuk memudahkan pilihan, lihat rekaan mana yang lebih menarik di pandangan anda.
Tetapi secara peribadi, saya lebih percaya jenama Xiaomi berbanding jenama Poco. Walaupun ia sebenarnya dihasilkan dari kilang yang serupa dan berkongsi pusat perkhidmatan pelanggan. Pasti ada sebab lain Poco boleh menjual lebih murah daripada Xiaomi.