Nothing Phone (1) telah selamat dilancarkan minggu lepas, menjadi telefon pintar pertama keluaran syarikat Nothing. Ia juga adalah produk kedua Nothing, selepas mereka melancarkan fon telinga Nothing Ear (1) sebelum ini.
Di Malaysia, Nothing Phone (1) baru dibuka tempahan awal. Bagaimanapun, sudah ada beberapa negara ia telah dijual selepas dilancarkan. Disebabkan itu juga, sudah ada suara-suara mengadu masalah tentangnya. Banyak masalah.
Skrin Hijau
Antara masalah yang paling banyak diadukan di media sosial adalah masalah skrin kehijauan. Ada pembeli yang memulangkan Phone (1) yang dibeli kerana masalah skrin hijau ini, hanya untuk mendapat set kedua yang ada masalah yang serupa.
Ada juga pembeli mengaitkannya dengan masalah yang serupa dengan telefon OnePlus sebelum ini.
Piksel mati
Aduan lain mengatakan, terdapat piksel mati di skrin. Ajaibnya, pengguna melihat ia berlaku di kawasan yang sama, di sekitar lubang kamera hadapan. Salah satu yang mengadu tentang ini adalah laman teknologi Beebom, mengatakan ia terjadi selepas tiga jam menerimanya.
Pengguna lain pula melaporkan, piksel mati ini terjadi selepas sehari menerima telefon dan selepas sejam menggunakannya.
Jalur LED Glyph tercabut
Satu perkara yang paling dihebohkan Nothing tentang telefon pertama mereka ini, adalah jalur LED Glyph. Ia boleh dikatakan pertama kali ada di telefon pintar, dihasilkan menggunakan lebih 900 LED.
Tetapi sudah ada melaporkan, jalur LED yang menjadi tonggak utama Nothing Phone (1) tercabut. Seorang media teknologi, Amritanshu Mukherjee mengatakan ia pada mulanya terjadi di di jalur LED di bahagian atas. Tetapi kemudiannya menemui ia turut terjadi di jalur LED yang lain.
Ini jawapan Nothing tentang masalah yang terjadi
Agak menarik, Nothing menjawab tentang semua masalah yang dilaporkan orang ramai ini. Tetapi ia lebih kepada mempertahankan diri mereka. Bagi masalah skrin kehijuan dan piksel mati, Nothing mengatakan bahawa ia adalah perkara biasa terjadi di skrin OLED apabila kecerahan ditetapkan pada tahap terendah dan masalah ini tidak eksklusif untuk Phone (1) sahaja.
Selain itu, jumlah pengguna yang berhadapan masalah ini sangat sedikit, tetapi mereka sedar ia tidak sepatutnya dihadapi pengguna. Nothing telah berusaha membaiki masalah ini dan berharap ia boleh diselesaikan menerusi kemaskini perisian yang akan datang. Pengguna yang bermasalah, diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan Nothing untuk mendapatkan gantian.
Bagi masalah jalur LED Glyph yang tercabut, Nothing menjawab bahawa ia adalah masalah produk awal yang dihasilkan bukan untuk pengguna akhir tetapi diberikan kepada beberapa media untuk diuji lebih awal. Masalah ini mungkin telah diselesaikan dalam unit yang telah dijual, tetapi agak merisaukan kerana ini adalah perkara paling penting di Phone (1).
Semoga pembeli mendapat balasan sewajarnya daripada pihak Nothing dan ia tidak berlaku kepada pengguna di Malaysia kelak.
[Sumber: Android Authority]